Bahasa

Selangor akan bubar DUN selepas Tahun Baru Cina

Oleh Nomy Nozwir
January 30, 2013
Latest Update: January 31, 2013 02:18 am

SHAH ALAM, 30 Jan — Kerajaan negeri Selangor akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor selepas Chap Goh Meh, jika Putrajaya masih enggan memberi sebarang petunjuk untuk membubarkan Parlimen.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri bagaimanapun akan berbincang dengan majlis pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat (PR) berkenaan perkara ini.

“Sekiranya Federal tidak memberi sebarang petunjuk untuk membubarkan Parlimen, kerajaan negeri bercadang untuk berbincang dengan majlis pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat untuk kita bubarkan DUN dengan lebih awal, iaitu selepas Chap Goh Meh,” kata Khalid (gambar) dalam sidang media di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.

Menurut Khalid, sebelum ini beliau enggan membubarkan DUN serentak dengan Putrajaya jika pembubaran berlangsung pada Jun tahun lalu, kerana mahu menguruskan bajet tahunan kerajaan negeri yang masih belum selesai.

“Tetapi, kita rasa kita perlu bubar lebih awal sekiranya Pusat masih belum bubar sebelum Chap Goh Mei, kita memikirkan untuk pembubaran lebih awal untuk mandat baru untuk kepentingan rakyat,” kata Khalid lagi.

Pemerhati menjangkakan Najib akan mengadakan pilihan raya pada penghujung Mac selepas memberi kesemua Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), program pemimpin Barisan Nasional percaya akan meningkatkan peluang dalam pilihan raya akan datang.

Menteri besar Selangor sebelum itu berkata pembubaran tersebut bergantung kepada bila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengadakan pilihan raya, sama ada secara berasingan atau serentak dengan parlimen.

Abdul Khalid menerangkan keputusan tersebut dibuat kerana keengganan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membersihkan daftar pemilih.

Kerajaan negeri baru-baru ini mengeluarkan satu kajian peningkatan pengundi dalam daftar pemilih meningkat, pada 563,471, 600,406 dan 625,510 setiap suku tahun lalu.

Khalid berkata kerajaan negeri tidak boleh mengesan 28 peratus dari 497,084 pengundi yang didaftarkan pada suku terakhir tahun lalu.

Sementara itu, pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, kuasa membubarkan DUN terletak di tangan Sultan Selangor.

"Beritahu dia, dia hanya boleh menasihati Sultan untuk bubarkan DUN, tapi tarikh penamaan calon dan pilihan raya terletak kepada SPR," kata Abdul Aziz dalam sidang media di ibu pejabat SPR di Putrajaya.

"Kebanyakan negeri dia punya last day .. About March, April atau Mei.."

Beliau juga berkata keputusan pembubaran DUN terletak di tangan Sultan Selangor.

"Terpulang kepada tuanku, kalau tuanku setuju," katanya lagi.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi