Bahasa

Selangor mengaibkan Johor DT 4-1

March 10, 2013

KUALA LUMPUR, 10 Mac — Selangor mengaibkan Johor Darul Tazkim (Johor DT) 4-1 untuk merampas tangga kedua Liga Super daripada pasukan berstatus bintang itu pada perlawanan di Stadium Shah Alam semalam.

Selangor menampilkan aksi cemerlang dan melakukan kejutan menerusi jaringan awal pemain sayap S. Kunalan pada minit keempat sebelum Francis Forkey menambah gol kedua pada minit ke-33.

Pada aksi babak kedua, Selangor terus menguasai perlawanan dengan bekas pertahanan Harimau Muda A, Mahalli Jasuli menambah derita Johor DT menerusi jaringan pada minit ke-67.

Kedudukan selesa Selangor tidak menghalang pasukan itu untuk terus melakukan gerakan bahaya ke pintu gol lawan sebelum Mohd Amri Yahyah melengkapkan kemenangan sensasi skuad Gergasi Merah pada minit ke-69.

Skuad Harimau Selatan bimbingan Fandi Ahmad berjaya mengurangkan defisit jaringan menerusi penyerang, Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-75.

Kekalahan tersebut sebaliknya menyaksikan kedudukan Johor DT merosot ke tangga keempat dengan 16 mata selepas 10 perlawanan.

Di Stadium Jalan Besar, Singapura, pasukan kelab Lions XII mengatasi juara bertahan Kelantan 1-0, hasil jaringan Shahfiq Ghani pada minit ke-87.

Kemenangan tipis itu membantu Lions XII naik satu anak tangga ke kedudukan ketiga dengan 17 mata, satu mata di belakang pendahulu liga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

ATM menungguli persada liga dengan kelebihan jaringan diikuti Selangor dengan pungutan mata yang sama.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan terus tercorot dalam kedudukan liga apabila kalah 1-0 kepada Felda United.

Pemain gantian, Razali Umar Kandasamy muncul wira skuad ‘The Settlers’ dengan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-40.

Terdahulu perlawanan berkenaan tertangguh selama 30 minit selepas lampu limpah stadium terpadam akibat masalah teknikal. – Bernama

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi