Bahasa

Selangor sedia ambil alih SYABAS terlebih dahulu, kata Khalid

Oleh Mohd Farhan Darwis
March 07, 2013

KUALA LUMPUR, 7 Mac — Kerajaan Selangor hari ini menyatakan kesediaan untuk mengambil alih Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) sementara menunggu pemegang konsesi syarikat yang bertanggungjawab air di Selangor membuat keputusan.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid berkata, Selangor, melalui anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) telah memulakan perbincangan dengan Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB) berkenaan pelupusan aset air dan liabiliti.

“Demi kepentingan rakyat, kerajaan negeri sedia mempertimbangkan untuk terlebih dahulu mengambilalih SYABAS yang merupakan pengedar tunggal bekalan air bersih di Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, jelas Khalid, kerajaan negeri telah meminta KDEB mempertimbangkan kemungkinan mengambilalih pengagihan bekalan dan operasi SYABAS terlebih dahulu.

“Selepas itu, KDEB akan meneruskan mengambilalih syarikat konsesi lain iaitu Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dan Konsortium ABBAS Sdn Bhd (ABBAS) yang mana KDEB sudah menjadi pemegang saham terbesar,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan petang tadi.

“Sementara itu, pengambilalihan satu lagi konsesi, Puncak Niaga Sdn Bhd bergantung kepada persetujuan KDEB dengan pemegang saham terbesar, Puncak Niaga Holdings Berhad,” kata Khalid lagi.

Isu air di Selangor telah menjadi polemik politik apabila kerajaan Pusat mendesak Selangor membenarkan usaha pembinaan Loji Rawatan Air langat 2 diteruskan selepas projek berkenaan dihentikan apabila Pakatan Rakyat (PR) menawan negeri terkaya tersebut dalam Pilihan Raya 2008.

Selangor sebelum ini, pada 20 Februari telah menawarkan lebih RM9 bilion untuk ambil alih syraikat konsesi dalam SYABAS daripada tiga pemegang konsesi utama.

Jelas menteri besar itu lagi, tawaran yang dibuat KDEB adalah termasuk liabiliti dan pulangan 12 peratus setahun terhadap ekuiti syarikat-syarikat tersebut, berbanding enam peratus yang lazimnya bagi pulangan dalam industri air, dan tempoh 14 hari diberikan kepada pemegang konsesi untuk menerima tawaran kerajaan negeri.

“Kami yakin tawaran ini tidak akan merugikan syarikat-syarikat berkenaan kerana jumlah ini merupakan pulangan 12 peratus setahun terhadap ekuiti yang dimiliki syarikat berbanding pulangan lazim enam peratus.

“Tambahan pula liabiliti juga akan diambil alih KDEB menerusi ‘Special Purpose Vehicle’ (SPV),” katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco Selangor di sini.

Empat syarikat konsesi air Selangor iaitu adalah; Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS); Puncak Niaga Sdn Bhd; Konsortium Abass Sdn Bhd; dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holding (SPLASH).

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi