Bahasa

Selcat akan jalankan inkuiri awam isu pasir Selangor

Oleh Lisa J Ariffin
February 20, 2012

SHAH ALAM, Feb 20 — Panel Transperansi Selangor akan menjalankan inkuiri awam berhubung tuduhan rasuah terhadap syarikat pasir milik kerajaan negeri, kata Datuk Teng Chang Khim hari ini.

“Selcat akan mengadakan sesi pendengaran awam bagi mendengar kes Kumpulan Semesta, anak syarikat kepada kerajaan negeri Selangor yang terlibat dengan perlombongan pasir," jelas Teng yang mempengerusikan Jawatankuasa Keupayaan, Akauntabiliti, dan Ketelusan (Selcat), dalam sidang media hari ini.

Teng, yang juga merupakan speaker Dewan Undangan Negeri berkata jawatankuasa tersebut akan menyiasat Yayasan Selangor atas dakwaan rasuah termasuk dua syarikat bebas yang dianugerahkan pinjaman RM180 juta oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

"Sesiapa yang dikehendaki akan dipanggil untuk memberi keterangan di hadapan jawatankuasa tersebut," katanya dan menggesa pihak yang mempunyai maklumat agar tampil ke hadapan bagi membantu siasatan.

"Kami akan menyediakan kenyataan bertulis berhubung sesi pendengaran tersebut bagi menyemak sama ada ianya relevan atau tidak. Proses ini akan dijalankan oleh jawatankuasa legislatif," katanya.

Tambahnya, sekiranya panel menemui bukti yang cukup terhadap jenayah salahlaku, pihaknya akan menyerahkan kes berkenaan kepada polis dan juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tindakan lanjut.

Sesi pedengaran umum itu dijadualjkan berlangsung 5 hingga 7 Mac depan.

Sembilan bekas pekerja di syarikat perlombongan pasir Selangor mendakwa mereka dipecat ataupun dipaksa meletak jawatan selepas mendedahkan perkara itu.

Mengikut laporan The Star, pekerja terbabit yang dipecat, telah didesak meninggalkan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) sejak lima bulan bermula Ogos tahun lalu.

Sebahagian mereka telah membuat laporan polis terhadap cubaan yang dibuat pihak pengurusan KKSV, dan yang lainnya mengambil tindakan perundangan di mahkamah.

Kontroversi perlombongan pasir muncul sebaik sahaja Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih pucuk pimpinan di Selangor dengan mendakwa kegiatan mencuri pasir dan rasuah telah mengakibatkan negeri berkenaan kerugian jutaan ringgit.

Isu itu kemudiannya dibangkitkan Raja Petra Kamaruddin dalam blognya awal bulan ini selepas menuduh dua wakil rakyat Selangor terlibat menerima rasuah daripada syarikat kontraktor pelombongan pasir.

Duo berkenaan, Adun Sri Muda Shuhaimi Shafei dan Batu Caves, Amiruddin Shari, kedua-duanya daripada PKR, telah menafikan dakwaan editor The Malaysia Today itu.

Raja Petra turut mendakwa ahli perniagaan Datuk Patrick Wong telah dibunuh pada 2009 bagi mengelakkan skandal perlombongan pasir tersebut terdedah.

Timbalan Ketua Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar Selasa lalu berkata, beliau mempunyai bukti terdapatnya kegiatan rasuah dengan pemberian permit perlombongan pasir dan mencabar kerajaan negeri menyiasat dakwaan tersebut.

 


The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi