Bahasa

Selepas bas, PKR guna treler untuk kempen

PETALING JAYA, 7 Sept ― PKR melancarkan sebuah treler yang bakal digunakan untuk kempen pilihan raya umum (PRU) ke-13 dalam satu majlis yang telah dirasmikan oleh presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pagi ini di ibu pejabat PKR.

Dr Wan Azizah (gambar) dalam ucapan perasmiannya memberitahu treler ini akan menjadi simbol baru buat Pakatan Rakyat (PR) dan merupakan wadah baru bagi perjuangan rakyat.

Ogos lalu, PKR juga telah melancarkan sebuah bas ekpres yang digunakan untuk kempen 'Jelajah Merdeka Rakyat' namun terdapat segelintir mereka yang kurang senang hinggakan ia diserang pihak tak bertanggungjawab di Kota Bharu.

“Treler tersebut akan memulakan perjalanannya dalam program ceramah pada malam ini yang akan berlangsung di Rantau, Negeri Sembilan.

“Saya berharap tiada lagi insiden yang tidak diingini seperti yang berlaku di Kelantan dan Kedah baru-baru ini,” katanya.

Presiden PKR tersebut juga berharap rakyat dapat mempertimbangkan dasar dan perjuangan yang dibawa oleh PR serta menolak kenyataan bekas perdana menteri (PM), Tun Dr Mahathir semalam kepada The Malaysian Insider yang mengatakan 'perubahan' akan hanya mendatangkan keburukan.

"Kalaulah sesiapa yang mengatakan 'perubahan' itu membawa keburukan (saya tidak akan sebut nama), saya rasa ia tidak munasabah sama sekali.

"Kita sudah beri mereka peluang untuk memerintah selama 55 tahun, saya anggap ia satu tempoh yang lama. Rakyat kini sudah bijak dan mampu menilai sendiri, jadi saya harap orang ramai dapat bersama dalam perjuangan PR dan berjuang bersama," kata Wan Azizah.

Sebaik saja tamat sidang media itu, bas dan treler tersebut terus bertolak untuk mengambil Anwar di KLIA dan berkonvoi ke Port Dickson, destinasi pertama untuk jelajah kali ini.

Selepas Negeri Sembilan, konvoi akan diteruskan ke Melaka dan Wilayah Persekutuan merupakan destinasi terakhir untuk siri kedua ini.

Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi, Nik Nazmi Nik Ahmad yang turut hadir berkata, idea program jelajah ini dicetuskan pimpinan pada 2007.

Ditanya mengenai sumber dan pembiayaan yang diperoleh untuk menggunakan bas dan treler tersebut, Dr Wan Azizah enggan mengulas dan berkata-kata ia diuruskan oleh pihak pengurusan parti serta sukarelawan.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.