Bahasa

Sembilan Exco kerajaan negeri Perak angkat sumpah

KUALA KANGSAR, 18 Mei — Sembilan anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak di Istana Iskandariah, Bukit Chandan di sini. 

Majlis mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah menyimpan rahsia itu berlangsung di hadapan Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah. 

Enam daripada mereka adalah muka baharu manakala tiga yang lain adalah bekas Exco bagi penggal lepas. Muka baharu ialah Datuk Rusnah Kassim (Behrang), Datuk Samsudin Abu Hassan (Ayer Kuning), Mohd Nizar Zakaria (Belanja), Nolee Ashilin Mohd Radzi (Tualang Sekah), Dr Muhammad Amin Zakaria (Batu Kurau) dan Datuk Shahrul Zaman Yahya (Rungkup). 

Tiga muka lama yang dilantik semula ialah Datuk Saarani Mohamad (Kota Tampan), Datuk Mohd Zahir Abdul Khalid (Kamunting) dan Datuk Zainol Fadzi Paharuddin (Sungai Manik). 

Pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), Barisan Nasional Perak membentuk kerajaan dengan majoriti mudah setelah menguasai 31 daripada 59 kerusi DUN yang dipertandingkan. 

Majlis angkat sumpah itu turut dihadiri Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara Salim, Raja Di Hilir Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Muda Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria, anggota DUN, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan. — Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.