Bahasa

Semua etnik bebas berbudaya di Kelantan, kata Nik Aziz

KOTA BAHRU, 9 Mac — Semua etnik di Kelantan bebas mengamalkan budaya dan agama masing-masing, kata Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau berkata oleh itu, kerajaan negeri mengambil langkah mengisytiharkan sekitar Jalan Kebun Sultan di sini sebagai “China Town” berikutan kawasan itu sejak turun temurun menjadi tumpuan masyarakat Cina untuk berniaga di samping terdapat beberapa mercu tanda.

Masyarakat Cina telah wujud di Kelantan sejak abad ke-17 Masihi di mana kebanyakan mereka tinggal di sepanjang pinggir sungai Kelantan, terutama di kawasan Pulai, Gua Musang, katanya (gambar).

“Sebab itu, tidak hairanlah jika masyarakat keturunan Cina dan Melayu di negeri ini dapat hidup harmoni malah mereka terkenal dengan panggilan ‘Cina Kelantan’ atau ‘Cina Kampung’ dan mengamalkan cara hidup bercirikan budaya Melayu,” katanya ketika melancarkan majlis pengisytiharan sekitar Jalan Kebun Sultan di sini sebagai “China Town”, malam tadi.

Pada majlis itu, Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS turut menepung tawar dua daripada 23 ekor singa kumpulan tarian singa yang melambangkan simbol 23 tahun PAS mentadbir Kelantan sejak 1990.

“Pada awal mengambil alih pentadbiran Kelantan pada 1990, saya meluluskan permohonan daripada masyarakat Cina untuk mengubah suai serambi bangunan Dewan Perniagaan Cina di sini dengan ukiran ciri-ciri kesenian budaya Cina,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kebudayaan dan Pelancongan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan, dalam ucapannya bersyukur kejadian kereta merempuh pentas dan khemah untuk majlis itu awal pagi semalam tidak mencederakan petugas dan menjejaskan majlis pelancaran itu. — Bernama

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website . We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments