Bahasa

Senarai calon PKR siap sepenuhnya Ahad, kata Azmin

Oleh Md Izwan dan Boo Su-Lyn
April 05, 2013
Latest Update: April 06, 2013 03:09 am

PETALING JAYA, 5 April — Senarai calon PKR akan siap sepenuhnya Ahad ini, kata Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali serta menambah mereka telah selesaikan hampir 95 peratus bagi kerusi peringkat negeri dan parlimen yang menjadi rebutan antara DAP serta PAS.

Azmin (gambar) berkata perbincangan dan mesyuarat tentang senarai calon dan kerusi akan bersambung hari ini dan dijangka selesai dalam tempoh terdekat.

“Saya percaya dengan semangat muhibah dalam Pakatan kami akan selesaikan dalam tempoh dua ke tiga hari lagi.

“Kerana bagi Keadilan kami mesti lengkapkan senarai calon kami pada Ahad ini,” kata Azmin kepada wartawan selepas sidang media di ibu pejabat di sini.

Azmin juga berkata setakat ini hanya tinggal sebilangan kecil kerusi diperingkat negeri dan parlimen yang masih belum selesai, tapi kerusi yang menjadi rebutan antara DAP dan PAS kebanyakkannya telah selesai.

“Kami telah 95 peratus selesai, terutamanya kerusi yang menjadi rebutan diperingkat negeri dan parlimen.

“Tapi sudah pasti ada dua tiga kerusi yang perlu perbincangan lebih mendalam, sekali lagi saya ingin tegaskan bahawa kami kekal dengan pertarungan satu lawan satu,” kata Azmin.

Azmin juga berkata perkara utama dalam meletak calon bagi Pakatan Rakyat adalah peluang untuk menang, beliau menambah PKR mengalu-alukan sekiranya PAS dan DAP mempunyai calon yang boleh menang dan kuat yang mampu diketengahkan.

“Satu faktor lagi ialah peluang untuk menang.

“Kami (PKR) sangat gembira jika PAS dan DAP meletak calon yang lebih kuat, ini mesti dibincangkan,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berasingan, Azmin berkata akan membangkitkan tentang isu calon di Labuan kepada Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali selepas ketua penerangan PAS, Hadnan Mohamad diumum sebagai calon PAS dikerusi parlimen tersebut.

“Saya akan bangkitkan isu ini kepada Datuk Mustafa,” kata Azmin selepas ditanya tentang pengumuman yang dibuat PAS semalam.

Selain itu, Azmin tidak menolak kemungkinan bakal berlaku pertarungan tiga penjuru di dua kerusi iaitu Kota Damansara dan Semenyih dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM), tetapi berkata ia masih lagi diperingkat perbincangan.

“Kami masih berbincang tentang beberapa strategi, dahulunya Dr Nasir bertanding di Kota Damansara menggunakan lambang PKR.

“Kita masih bincang,” kata Azmin.

Beliau juga berkata kepimpinan masih belum membuat keputusan sama ada membenarkan PSM akan menggunakan logo rasmi mereka ataupun tidak.

Semalam, The Malaysian Insider melaporkan, parti komponen PR — PKR, DAP dan PAS — masih belum selesai dengan rundingan senarai akhir calon walaupun Dewan Rakyat sudah dibubarkan dan Pilihan Raya 2013 akan berlangsung tidak lama lagi.

Pemimpin utama PR yang ditemui selepas mesyuarat di ibu pejabat PKR berkata mereka masih memerlukan masa lagi untuk melengkapkan senarai akhir calon dan akan meneruskan perbincangan pada keesokkan hari.

Rabu lalu, Dewan Rakyat sah telah dibubarkan, ia diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk memberi laluan  kepada pilihan raya umum ke-13 diadakan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bertemu dalam beberapa hari lagi untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi yang mesti diadakan dalam tempoh 60 hari bermula dengan notis pembubaran di setiap dewan undangan negeri yang masih belum dibubarkan.

Ahli politik daripada parti pemerintah Barisan Nasional (BN) dan pembangkang PR bertarung merebut 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi Dun pada Pilihan Raya 2013, The Malaysian Insider difahamkan ia bakal berlangsung dalam tempoh sebulan ini.

Seramai 13.3 juta pengundi, termasuk 3,000 yang menetap di luar negara telah mendaftarkan diri sebagai pengundi pada pilihan raya kali ini yang dilihat paling sengit dan penting untuk seluruh rakyat Malaysia.

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi