Bahasa

Seniman S. Shamsuddin meninggal dunia di Singapura

KUALA LUMPUR, 4 Jun — Pelakon komedi era 1950-an seniman S. Shamsuddin atau juga dikenali sebagai Sudin, 84, meninggal dunia di kediamannya di Singapura pagi ini.

Allahyarham meninggal dunia pada 10.56 pagi di kediamannya di Blok 101 Bukit Batok, West Avenue 6, #07-34, Jurong, Singapura, kata anaknya Noredah kepada Bernama di sini.

Noredah berkata bapanya didapati tidak sedarkan diri pagi ini dan terus dibawa ke hospital, bagaimanapun beliau disahkan meninggal dunia.

Shamsuddin atau nama sebenarnya Sahamsudin Dali berkahwin dengan Puteh Esmoon pada 1954 dan dikurniakan tujuh orang anak.

Seorang anaknya, Ariff merupakan pelakon pelawak TV Singapura.

Allahyarham yang dilahirkan pada 1 Jan 1929 di Pasir Panjang, Singapura merupakan pelakon komedi seangkatan dengan seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Allahyarham A.R. Tompel dan Datuk Aziz Satar. Gandingan mereka bertiga begitu popular dalam siri filem ‘Bujang Lapok’.

Sepanjang hayatnya Allahyarham membintangi kira-kira 30 filem termasuk ‘Nujum Pak Belalang’, ‘Nasib Si Labu Labi dan ‘Tiga Abdul’.

Rezeki Allahyarham dalam bidang perfileman terjadi secara tidak dirancang apabila beliau ke Studio Malay Productions (MFP) di Jalan Ampas, Singapura pada 1948 untuk melihat penggambaran filem ‘Cempaka’. Beliauh diambil berlakon sebagai pelakon tambahan dalam filem itu.

Pengarah filem itu B. S. Rajhans membayar Shamsuddin RM3 untuk lakonannya yang merupakan bayaran bagi pelakon tambahan ketika itu.

Beberapa hari kemudian, beliau memohon bekerja dengan MFP untuk sebarang pekerjaan dan diterima sebagai tukang kayu untuk membina set dan latar belakang filem itu dengan gaji sebanyak RM50 sebulan.

Selain itu, Shamsuddin diberi bayaran tambahan apabila menjadi pelakon tambahan ataupun penari dalam sesebuah filem.

Bintang Shamsuddin mula menyinar apabila dipilih sebagai pelakon utama dalam filem ‘Tas Tangan Wanita’ arahan L. Krishnan pada 1952.

‘Tas Tangan Wanita’ merupakan filem komedi yang dilakonkan beliau bersama Osman Gumanti, Neng Yatimah dan Siti Tanjung Perak.

Namanya memuncak selepas P. Ramlee mengarah filem berunsur komedi pertama pada 1957 iaitu filem ‘Bujang Lapok’ yang menggabungkan tiga watak utama sebagai tunjang cerita iaitu Shamsuddin, Aziz dan P.Ramlee.

Berikutan kejayaan besar filem itu, P. Ramlee melanjutkan watak ‘Bujang Lapok’ melalui tiga buah filem lagi iaitu ‘Pendekar Bujang Lapok’, ‘Seniman Bujang Lapok’ dan ‘Ali Baba Bujang Lapok’.

Sebuah lagi filem arahan P. Ramlee yang menonjolkan kekuatan dan kehebatan lakonan Shamsuddin ialah ‘Antara Dua Darjat’ yang diterbitkan pada 1960.

Filem berbentuk drama berat itu disulami dengan kelucuan yang dihidupkan oleh lakonan Shamsuddin. — Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.