Bahasa

Adun Bukit Besi kembali kepada Umno, kata Shahidan

Datuk Seri Shahidan Kassim (berbaju merah) mengatakan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bebas sudah kembali kepada Umno. Gambar fail The Malaysian Insider, 13 Mei, 2014.Datuk Seri Shahidan Kassim (berbaju merah) mengatakan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bebas sudah kembali kepada Umno. Gambar fail The Malaysian Insider, 13 Mei, 2014.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim mengesahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Besi, Roslee Daud yang menjadi wakil rakyat bebas pagi ini kembali kepada parti tu.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi Umno itu, kedudukan terkini kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu menyebabkan tiada keperluan untuk diadakan pilihan raya negeri.

"Dengan kembalinya Roslee maka BN kembali memerintah," katanya kepada The Malaysian Insider.

“Kedudukan terkini, Umno kembali kepada 15, PAS 14, PKR 1, dan calon bebas 2.”

Lewat malam tadi, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Adun Ajil, Ghazali Taib bertindak keluar Umno, tidak sampai 24 jam selepas Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mengangkat sumpah sebagai ketua eksekutif baru negeri itu.

Awal pagi ini, Roslee menyertai Ahmad dan Ghazali keluar daripada Umno.

Tindakan berkenaan menyebabkan Barisan Nasional (BN) kehilangan majoriti dalam DUN Terengganu apabila hanya mempunyai 14 kerusi, PAS (I4), PKR (1) dan Bebas (3).

DUN Terengganu mempunyai jumlah keseluruhan 32 kerusi.

Kemelut itu menyaksikan PAS Terengganu mendesak DUN dibubarkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya diadakan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilaporkan ‎akan berjumpa semua Adun BN Terengganu malam ini bagi meredakan ketegangan politik di negeri itu. – 13 Mei, 2014.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.