Bahasa

Seorang maut, tujuh cedera dalam gempa bumi di Aceh

JAKARTA, 22 Jan — Seorang kanak-kanak perempuan maut dan tujuh penduduk lagi cedera ditimpa serpihan runtuhan bangunan rumah dalam kejadian gempa bumi berkekuatan 6.0 pada skala Richter di Aceh pada pagi Selasa.

Kanak-kanak berusia lapan tahun itu adalah dari Kampung Mane, di daerah Pidie manakala mereka yang cedera pula adalah dari Kampung Mane, Kampung Pulo Loh dan Kampung Leupu, di daerah sama.

Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, gempa bumi di kawasan Barat daya Aceh pada pukul 5.22 pagi itu menyebabkan beberapa buah rumah penduduk di daerah Pidie hancur dan sejumlah rumah lain rosak.

Gempa bumi itu berlaku di dalam laut sekitar Pulau Penasi yang terletak antara Banda Aceh dan Pulau Breureh, 15 km ke barat daya kota Banda Aceh, pada kedalaman 84 km.

Gegaran gempa bumi selama dua hingga lima saat itu turut dirasakan oleh penduduk di sekitar Lhoknga, Peukanbada, Ulelhee di Banda Aceh, menyebabkan mereka bertempiaran keluar dari rumah masing-masing bagi menyelamatkan diri.

Dua puluh lima minit kemudian gempa susulan berkekuatan 5.1 pada skala Richter berlaku di tempat yang hampir sama, pada kedalaman 16 km. — Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.