Bahasa

Seorang pengganas ditembak mati, 9 mayat ditemui dalam Ops Daulat di Lahad Datu

March 06, 2013

KUALA LUMPUR, 6 Mac — Hari kedua Ops Daulat hari ini menyaksikan seorang anggota kumpulan pengganas ditembak mati dan sembilan mayat ditemui di dalam lubang di kawasan ladang dekat Kampung Tanduo, Lahad Datu.
Seorang anggota polis sedang berkawal berhampiran tempat persembunyian kumpulan pengganas Sulu di Lahad Datu. — Gambar ReutersSeorang anggota polis sedang berkawal berhampiran tempat persembunyian kumpulan pengganas Sulu di Lahad Datu. — Gambar ReutersPengganas itu maut dalam kejadian berbalas tembak dengan anggota keselamatan yang menjalankan operasi susulan dan penggeledahan di kampung itu selepas gerakan ofensif oleh pasukan keselamatan negara di kampung yang menjadi kubu kumpulan pengganas itu semalam.

Selain kejadian pada pukul 6.45 pagi itu, pasukan forensik juga diserang kumpulan penceroboh ketika menjalankan siasatan di kawasan mayat-mayat itu ditanam.

Kejadian berbalas tembak antara pasukan keselamatan dan kumpulan pengganas turut berlaku di tiga lokasi di kampung Tanjung Batu, pada pukul 4.15 petang, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Berikutan operasi berterusan anggota keselamatan, Ismail berkata saki-baki kumpulan itu kini bergerak ke kawasan kampung berhampiran dan menyamar dengan berpakaian seperti orang awam untuk melepaskan diri daripada kepungan pasukan keselamatan.

Sehubungan itu, kawasan operasi yang sebelum ini bertumpu di sekitar kawasan seluas empat kilometer, kini diperluas berikutan kumpulan pengganas dikesan bergerak ke tempat-tempat tertentu.

Tiada anggota keselamatan yang cedera atau dijadikan tawanan, kata Ismail sambil sekali lagi mengingatkan orang ramai agar tidak mendengar khabar angin dan menasihati penduduk di kawasan sekitar berhati-hati dan mendapatkan maklumat di pos taktikal pasukan keselamatan dan balai polis berdekatan.

Operasi hari ini juga menyaksikan empat lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan penceroboh ditahan dalam pemeriksaan di Jalan Lapangan Terbang, kira-kira lima kilometer dari pekan Semporna.

Mereka yang ditahan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan penceroboh yang terlibat dalam kejadian serangan hendap di Kampung Simunul, di sini Sabtu lepas yang mengakibatkan enam anggota keselamatan terkorban dan enam musuh maut.

Semalam, pasukan keselamatan melancarkan serangan udara menggunakan jet pejuang F18 dan Hawk sebagai gerakan pertama ke arah menamatkan pencerobohan pengganas Sulu sejak 12 Feb lepas.

Sesudah itu, gerakan susulan dan penggeledahan dilakukan rumah ke rumah bertumpu di sekitar kawasan empat kilometer persegi di kampung itu bagi memburu kumpulan pengganas itu.

Operasi susulan dan penggeledahan perlu dilakukan dengan berhati-hati bagi memastikan keselamatan anggota keselamatan dan berikutan faktor bentuk muka bumi di kawasan itu.

Sementara itu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata operasi susulan dan penggeledahan oleh polis dan tentera itu turut menemui pelbagai senjata api milik kumpulan pengganas rakyat asing itu.

Sejak isu pencerobohan sekumpulan lelaki berpakaian ala tentera dan bersenjata di Lahad Datu 12 Feb lepas, lapan anggota polis terkorban iaitu dua dalam pertempuran di Lahad Datu Jumaat lepas dan enam dalam serangan hendap di Simunul, Semporna Sabtu lepas.

Dalam tempoh itu, 12 pengganas terbunuh dalam pertempuran di Lahad Datu pada Jumaat dan seorang dalam pertempuran hari ini, manakala enam lagi maut dalam pertempuran di Simunul dan seorang pengganas dibelasah hingga mati oleh penduduk Kampung Senallang Lama di Semporna awal pagi Ahad lepas. — Bernama

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi