Bahasa

Sepuluh Exco kerajaan Pahang angkat sumpah

May 16, 2013

PEKAN, 16 Mei — Sepuluh anggota Dewan Undangan Negeri hari ini mengangkat sumpah sebagai anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco)Pahang di Istana Abu Bakar, Pekan.

Lima daripada mereka ialah muka baharu dan seorang bekas Exco tahun 2004, Datuk Shahiruddin Ab Moin, yang dilantik semula.

Majlis angkat sumpah diadakan bermula pukul 11 pagi di Istana Abu Bakar, Pekan di hadapan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, seminggu selepas Datuk Seri Adnan Yaakob, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Pahang untuk penggal ke-4 pada 9 Mei.

Muka baharu Exco negeri ialah Datuk Abu Bakar Harun (Adun Chini), Datuk Mohd Johari Hussain (Tioman), Norul Azali Sulaiman (Guai), Datuk Shahaniza Shamsuddin (Kuala  Sentul) dan Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad (Kerdau).

Empat muka lama turut dilantik semula iaitu Datuk Mohd Sharkar Shamsudin (Lanchang), Datuk Ir Mohd Soffi Abd Razak (Benta), Datuk Wan Rosdy Wan Ismail (Jelai) dan Datuk Shafik Fauzan Sharif (Inderapura).

Tiada Adun MCA yang dilantik. Pada pilihan raya umum ke-13, 5 Mei lepas, MCA hanya menang dua daripada lapan kerusi yang ditandingi mereka iaitu Datuk Lau Lee (Damak) dan Datuk Fong Koong Fuee (Cheka). MCA telah menyatakan tidak akan menerima pelantikan jawatan ekoran prestasi buruk parti itu pada PRU13.   

Pada 2008, Fong dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang.

Majlis angkat sumpah hari ini turut dihadiri Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan menteri besar. – Bernama

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi