Sepuluh premis makanan beroperasi sebelum pukul 3 petang diserbu di Alor Star
ALOR STAR, 30 Julai — Majlis Bandaraya Alor Star (MBAS) dan Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) menyerbu 10 premis dan gerai makanan di bandar raya ini semalam hingga pagi ini, kerana beroperasi sebelum pukul 3 petang.
Ketua Bahagian Penguatkuasa MBAS Saifullizam Othman berkata operasi yang turut melibatkan Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar itu susulan risikan dan juga maklumat awam mengenai perbuatan peniaga terbabit.
Selain barang perniagaan dirampas, peniaga juga akan dikenakan kompaun sebanyak RM300 selain kos pengalihan antara RM50 dan RM500, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Sementara itu, ketika serbuan di sebuah premis makanan di Jalan Gangasa di sini pada pukul 11 pagi tadi, terdapat lebih 10 pelanggan lelaki yang sedang menunggu makanan bertempiaran lari apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Semasa serbuan yang turut disertai wakil media itu, tukang masak didapati sedang memasak manakala seorang lagi membungkus makanan yang diminta pelanggan.
Keadaan gerai yang kotor dan dipenuhi lalat disebabkan kedudukannya berhampiran tempat pembuangan sampah haram, jelas tidak menghalang umat Islam yang tidak berpuasa membeli makanan di situ.
Saifullizam berkata pihaknya turut mengesan empat kes menjual makanan yang siap dibungkus dari but kereta.
Sehubungan itu beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai peniaga makanan beroperasi sebelum 3 petang agar menghubungi bilik gerakan MBAS yang beroperasi 24 jam di talian 04-730-4319 atau bahagian penguatkuasaan 04-733-2499. — Bernama




