Bahasa

Setelah menerima tekanan, DBKL umum kadar baru cukai pintu

OLEH MUZLIZA MUSTAFA
December 19, 2013
Latest Update: December 19, 2013 10:02 pm

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akhirnya membuat keputusan untuk menurunkan kadar cukai pintu baru berikutan protes besar-besaran oleh pemilik hartanah di bandar.

Pemilik hartanah komersial dan kediaman akan dikenakan kenaikan 10% dan 4% masing-masing.

Sebelum itu, DBKL mengenakan kenaikan 12% and 6% ke atas hartanah komersial dan kediaman.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (gambar) mengumumkan hal itu selain berkata kadar cukai baru bergantung kepada lokasi hartanah.

"Hartanah yang berada di kedudukan 36 batu dari Kuala Lumpur akan dikenakan kadar berbeza berbanding mereka yang tinggal lebih jauh dari jarak tersebut," katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat DBKL hari ini.

Beliau berkata rebat khas akan diberikan kepada kumpulan pemilik hartanah tertentu seperti orang kelainan upaya (OKU), pesara dan pemilik yang menetap di hartanah sendiri.

"Mereka boleh mengisi borang permohonan yang boleh didapati di kaunter bayaran DBKL dengan disertakan dokumen sokongan," katanya.

Ketika ditanya bagaimana pemilik hendak membuktikan mereka tinggal di hartanah sendiri, Tengku Adnan berkata tanggungjawab itu terletak kepada penduduk.

"Kami memberikan kepercayaan penuh kerana DBKL berpendapat jika anda menipu kami, anda menipu tuhan," katanya.

Tengku Adnan berkata meskipun beliau bersetuju dengan kaedah DBKL menilai sewa hartanah, beliau telah mengarahkan DBKL memastikan kadar yang dikenakan tidak membebankan pemilik hartanah.

"Selepas membaca sebahagian bantahan yang diterima, kami memutuskan untuk mengumumkan kadar baru dan maklumat berkaitan," katanya.

Beliau berkata DBKL menerima 153,187 surat bantahan daripada pemilik hartanah yang berasa kurang senang.

"Lapan ahli jawatankuasa yang terdiri daripada pakar pelbagai bidang akan mendengar rungutan daripada penduduk. Meskipun kami memperuntukkan tempoh tiga bulan bagi tempoh pendengaran, kami berharap ia dapat diselesaikan dalam tempoh tiga minggu," katanya.

Beliau berkata pemilik hartanah yang telah menghantarkan bantahan sebelum tarikh tutup akan dipanggil bermula 6 Januari hingga 31 Mac tahun depan.

"Tidak semua yang akan dipanggil kerana terdapat bantahan bertindih," katanya.

Tengku Adnan berkata semasa pendengaran, pemilik perlu membuktikan nilai tahunan yang dicadangkan DBKL adalah tinggi. Jika terbukti, jawatankuasa boleh memutuskan untuk mengurangkan kadarnya.

"Saya berharap makluman ini akan menghilangkan keresahan pemilik hartanah. Saya juga akan memastikan DBKL meningkatkan kualiti perkhidmatan dan infrastruktur warga kota," katanya.

Beliau berkata notis baru akan dihantar kepada pemilik hartanah bagi memaklumkan nilai dan kadar penilaian. – 19 Disember, 2013.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi