Bahasa

Setiausaha Ulama: PAS iktiraf Syiah mazhab dalam Islam

OLEH ZULKIFLI SULONG, PENGARANG ANALISIS DAN RENCANA
October 05, 2013

Secara makro, PAS iktiraf Syiah sebagai sebahagian daripada Islam, kata Dr Mohd Khairudin Aman Razali. Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 5 Oktober, 2013.Secara makro, PAS iktiraf Syiah sebagai sebahagian daripada Islam, kata Dr Mohd Khairudin Aman Razali. Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 5 Oktober, 2013.Secara makronya PAS mengiktiraf mazhab Syiah sebagai sebahagian daripada Islam tetapi secara mikronya perlu diperincikan kerana ada sebahagian pecahan aliran syiah mengkafirkan sahabat.

Namun secara tegas, parti Islam itu tidak membenarkan ahlinya menganut mazhab Syiah, kata Setiausaha Dewan Ulama PAS, Dr Mohd Khairudin Aman Razali.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata, hubungan PAS dengan Syiah adalah hubungan Muslim dengan kumpulan Muslim yang lain.

Katanya, memang ada Syiah yang melampau sehingga mengkafirkan para sahabat Rasulullah tetapi ada juga yang tidak mengkafir sahabat dan mempunyai fekah yang hampir sama dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Menjadi akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah tidak mengkafirkan Syiah secara makro," katanya.

Khairudin yang mempunyai PhD dalam pengajian Islam daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) adalah pensyarah di UKM dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebelum menceburkan diri dalam politik.

Khairuddin berkata demikian ketika mengulas tindakan sesetengah pihak yang terus memusuhi Syiah seolah-olah semua mereka terkeluar daripada Islam.

Di Malaysia, katanya, beberapa kumpulan Muslim yang mengamalkan mazhab Syiah diburu dan perhimpunan mereka diganggu.

"PAS memegang akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.  Berdasarkan perlembagaan itu maka Syiah tidak diterima oleh PAS, maknanya tidak boleh ahli PAS berpegang kepada mazhab Syiah sebagaimana kerajaan Malaysia juga tidak membenarkan rakyatnya menganut mazhab Syiah.

“Namun PAS tidak membenarkan pihak luar melaga-lagakan antara Ahli Sunnah dengan Syiah,” katanya.

Beliau memberikan contoh apa yang berlaku di Syria apabila musuh Islam khasnya Amerika Syarikat (AS) dan Israel berjaya memecahkan Sunnah dengan Syiah.

Katanya, pertembungan di Syria adalah pertembungan antara orang yang zalim dan dizalimi iaitu antara kerajaan Bashar Al-Assad dengan rakyatnya.

Syria dikuasai oleh kerajaan Bashar yang kebetulan penganut Syiah Alawiyah yang tidak diiktiraf oleh kumpulan Syiah sendiri.

AS dan Israel, katanya, mengambil kesempatan daripada pertembungan ini untuk menyemarakkan api pertelingkahan sehingga menimbulkan konflik antara Sunnah dan Syiah di Syria.

“Dalam masa yang sama tidak dinafikan sebahagian pertembungan dipengaruhi elemen mazhab Syiah dan Sunni.

“Tindakan Hezbollah dan Iran yang membantu Bashar ditentang bukan kerana mereka Syiah tetapi kerana mereka membantu Bashar yang jahat,” katanya. – 5 Oktober, 2013.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi