
Peguam SPRM Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah berkata pelanggannya telah dibebaskan sepenuhnya dengan keputusan petang ini.
Bagaimanapun peguam itu bersetuju dengan Koroner Aizatul Akmal Maharani bahawa pegawai SPRM bernama “Kamal” telah bertindak cuai dalam tugasnya dengan membiarkan Sarbaini seorang diri di premis SPRM di Jalan Cochrane.
“Dia tidak seharusnya membiarkan seseorang meskipun satu saat,” kata Muhammad Shafee sambil menambah, beliau akan memberi nasihat kepada SPRM mengenai pandangan koroner kelak.
“Sudah pasti akan ada tindakan susulan ke atas Kamal,” kata beliau.
Terdahulu dalam keputusannya Koroner Aizatul Akmal Maharani berkata, “saya berpendapat perbuatan (Penolong Penguasa SPRM) Kamal (Awang Besar) meninggalkan arwah bersendirian menunjukkan Kamal telah cuai dalam menjalankan tugas dan mengingkari arahan pegawai atasan untuk menjaga arwah di bilik saksi.”
Katanya, keadaan menjadi bertambah parah apabila Allahyarham Sarbaini diminta untuk menunggu di bilik saksi sementara pihak SPRM menunggu kehadiran Wan Zainal dan telah ditinggalkan sendirian.
Aizatul Akmal berkata Sarbaini yang berada di pejabat SPRM itu pada 1, 2 dan 4 April mengetahui kedudukan pintu, sistem akses dan kewujudan bilik pantri di pejabat itu.
Beliau berpendapat Sarbaini tidak menggunakan tangga atau lif kerana mungkin akan dihalang oleh mana-mana pegawai SPRM yang berada di situ dan memandangkan dia berada bersendirian di bilik saksi, satu-satunya jalan supaya dia tidak ditahan adalah keluar menerusi tingkap di bilik pantri itu.
“Saya telah membuat lawatan ke tempat kejadian dan bersetuju bahawa apabila kita berdiri berhampiran tingkap pantri itu, kelihatan bumbung yang terletak di sebelah kiri tingkap nampak dekat.
“Saya percaya arwah pada masa itu mengalami ilusi optikal bahawa beliau boleh mendarat ke bumbung yang kelihatan dekat dan seterusnya keluar dari pejabat SPRM itu bagi mengelak dirinya ditahan sekali lagi di neraka dunia,” jelas Aizatul Akmal.






