Bahasa

Shahrir: Iskandar Malaysia untuk masa depan golongan muda

September 16, 2012

JOHOR BARU, 16 Sept — Iskandar Malaysia, sebuah projek pembangunan ekonomi yang dipromosikan oleh Khazanah Nasional Berhad, akan memberi masa depan yang lebih gemilang untuk golongan muda Johor, kata Ahli Parlimen Johor Baru Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Beliau berkata Iskandar Malaysia “bukan mengenai hartanah atau harga harta yang tinggi. Ia adalah tentang mencipta masa depan untuk golongan muda”.

“Projek yang telah dilaksanakan di Iskandar Malaysia akan membolehkan ‘generasi baharu’ membina kerjaya dan kejayaan profesional di negeri mereka sendiri.

“Jika aktiviti perniagaan dan pembangunan hanya tertumpu di Kuala Lumpur dengan sasaran untuk membina sebuah metropolis di Lembah Kelang, belia akan terus meninggalkan kampung halaman mereka di pelbagai tempat di Malaysia untuk mencari peluang di ibu negara.

“Tanpa pembangunan koridor ekonomi, banyak bandar akan kehilangan kepentingan mereka kerana Kuala Lumpur akan menyerap semua bakat, sumber dan minat dari lain-lain negeri,” katanya pada satu wawancara sempena Hari Malaysia.

Shahrir berkata rakyat Johor telah mula teruja dengan beberapa projek Iskandar Malaysia seperti yang dilihat pada pembangunan Legoland Malaysia, Cruyff Court Iskandar dan Johor Premium Outlet.

“Dalam jangka masa yang pendek selama 6 tahun, Iskandar Malaysia telah mengubah JB dan sekelilingnya dengan potensi yang boleh ditawarkan kepada golongan muda menerusi Legoland Malaysia, Pinewood Iskandar Malaysia Studios, kampus perubatan Newcastle University, kampus University of Southampton serta hospital-hospital.

“Saya gembira untuk melihat lebih banyak interaksi antara Johor dan kerajaan persekutuan, dan sektor swasata.

“Dengan Khazanah sebagai penggerak utama Iskandar Malaysia, interaksi seperti ini akan mengumpulkan idea dan budaya yang akan memastikan pembangunan berterusan wilayah ini,” kata Shahrir.

Menurut Shahrir, kanak-kanak dan pelajar perlu didedahkan kepada kejayaan Iskandar Malaysia untuk lebih mengenali pelbagai mercu tanda di Iskandar, sambil berkata “Iskandar Malaysia bukan hanya satu destinasi pelancong asing”.

“Kita tidak membina hartanah di Iskandar Malaysia untuk rakyat Singapura dan tarikannya adalah untuk rakyat Malaysia. Kami membina semua ini untuk rakyat,” terangnya.

Dilancarkan pada November 2006 dengan keluasan 2,217km, Iskandar Malaysia dikenalpasti sebagai salah satu pemangkin dan pembangunan berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 dan ke-10.

Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) adalah badan berkanun persekutuan yang diberi kepercayaan untuk mengawal atur dan menjana pembangunan di wilayah itu.

Shahrir berkata terdapat potensi yang besar untuk Iskandar Malaysia mentransformasi sosio-ekonomi Johor, sambil berkata Iskandar Malaysia dilengkapi dengan prasana yang lengkap dan dikelilingi oleh tiga pelabuhan utama dan sebuah lapangan terbang antarabangsa di Senai.

Beliau berkata idea untuk sebuah koridor ekonomi bukan sesuatu yang baru kerana ia diilhamkan oleh Tun Abdul Razak Hussein ketika beliau menjadi perdana menteri dan dilancarkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi pada akhir 2000.

Sejajar dengan pendekatan pembangunan seimbang, sebuah koridor ekonomi seperti Iskandar Malaysia akan menghasilkan limpahan ekonomi yang positif.

Iskandar Malaysia menerima komitmen pelaburan daripada pelabur domestik dan asing berjumlah RM95.45 bilion daripada 2006 hingga Jun 2012, yang mana 43 peratus telah dilaksanakan.

Ia menyasarkan untuk mencecah sasaran komitmen pelaburan RM100 bilion menjelang akhir tahun.

Berikutan oleh daya saingnya yang tinggi, Iskandar Malaysia telah menduduki tempat keempat terbaik Zon Bebas Global Masa Depan 2012/2013 oleh fDi Magazine terbitan Financial Times Ltd. — Bernama

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi