Bahasa

Shahrizat guna kes liwat Anwar alih skandal NFC

Oleh Lisa J. Ariffin
November 30, 2011
Latest Update: November 30, 2011 08:42 pm

KUALA LUMPUR, 30 Nov — Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga harus meletakkan jawatan sebagai presiden PKR ekoran tuduhan jenayah dihadapi suaminya jika beliau dipaksa berundur berhubung isu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ini berhadapan dengan tekanan daripada PKR agar meletakkan jawatan kerajaan dan politik ekoran siri pendedahan berkaitan NFC, yang diuruskan oleh keluarganya.

Antara isu yang dibangkitkan oleh pemimpin-pemimpin PKR ialah salah guna dana projek ternakan lembu NFC termasuk untuk membeli kondominium mewah dan membiaya perbelanjaan keluarga, antaranya kos menunaikan umrah.

Sekali lagi hari ini, Shahrizat (gambar) mempertahankan dirinya bahawa beliau tidak kena-mengena dengan syarikat diuruskan oleh suami dan anak-anaknya.

Sebaliknya beliau mencabar Ketua Wanita PRK Zuraida Kamaruddin agar mendesak peletakan jawatan oleh Dr Wan Azizah.

Shahrizat membuat cabaran itu ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Agung Tahunan Wanita di sini hari ini.

Projek NFC kini disiasat oleh polis. Pengerusi Eksekutif NFC Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail merupakan suami Shahrizat.

“Beliau (Zuraida) minta saya letak jawatan sebab suami saya terlibat dalam NFC. Beliau buat kerja beliau dan saya buat kerja saya. Saya tiada kaitan dengan itu. Mengapa minta saya letak jawatan?” kata Shahrizat di hadapan 944 perwakilan Pergerakan Wanita. “Jika itu polisi dan prinsip beliau, maka saya mencabar ketua Wanita PKR agar minta presiden PKR letak jawatan,” katanya lagi.

“Hari ini saya mencabar semua (ahli Wanita PKR) agar minta peletakan jawatan Wan Azizah sebab suami beliau (Ketua Umum PKR  Datuk Seri Anwar Ibrahim), yang telah dihukum dan didakwa,” katanya lagi.

Jelas Shahrizat, cabaran Zuraida itu umpama “gajah di depan hidung tak nampak, kuman di seberang laut nampak.”

“Wan Azizah patut didesak meletak jawatan kerana suaminya, Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim pernah disabit dan dikenakan tindakan kerana pelbagai kesalahan,” katanya lagi.

“Buat Zuraida, jangan ingat Wanita Umno penakut,  walaupun kamu menghentam saya, saya tetap senyum sampai dah tak boleh nak senyum lagi ni, itu belum kita angkat kain lagi,” tegas Shahrizat memberi amaran kepada Zuraidah supaya jangan memperlekehkan wanita Umno kerana pergerakan wanita itu jelasnya sentiasa bersedia menepis dakwaan fitnah dan songsang PKR.

Shahrizat dalam ucapan dasarnya turut menyelar Zuraida dan mengingatkannya agar tidak mengambil kesempatan terhadap Wanita Umno.

“Untuk Wanita PKR, saya beri ingatan, jangan cuba ambil kesempatan kepada kami, kami telah bersedia,” tegasnya.

Menurut Shahrizat, Zuraida dan Wanita PKR sebenarnya takutkan perjuangan Wanita Umno kerana pentadbiran Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menyaksikan 1.3 juta wanita menyokong perjuangan Umno-Barisan Nasional.

“Pembangkang dan PKR sebenarnya takutkan Wanita Umno, kita ada kekuatan 1.3 juta ahli kalangan wanita untuk memastikan kemenangan Umno, sebab itu mereka cuba untuk merosakkan kita dengan pelbagai cara,” tegas beliau lagi.

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi