Bahasa

Shuhaimi Baba: Tiada watak pemimpin DAP dalam filem ‘Tanda Putera’

TERKINI @ 09:22:07 PM 15-08-2012

Oleh Mohd Farhan Darwis
August 15, 2012

PETALING JAYA, 15 Ogos ― Pesona Pictures hari ini menafikan adanya watak pemimpin DAP dalam filem terbaru keluaran mereka, “Tanda Putera” yang telah menerima kecaman dan kontroversi berlarutan daripada sesetengah pihak yang tidak berpuas hati dengan filem tersebut.

Datin Paduka Shuhaimi Baba ketika siding akhbar yang diadakan oleh Pesona Pictures Sdn Bhd berhubung filem ‘Tanda Putera’ di Petaling Jaya pada 15 Ogos, 2012. ― Gambar oleh Choo Choy MayPengarah filem, Datin Paduka Shuhaimi Baba, berkata beliau telah menjelaskan beberapa kali bahawa filem durasi 117-minit itu juga tidak memaparkan mana-mana watak pemimpin DAP sepertimana dikatakan pelbagai pihak, terutama parti politik.

“Tiada watak pemimpin DAP dalam filem ‘Tanda Putera’,” tegas Shuhaimi ketika sidang media di sini.

Sebelum ini, Pakatan Rakyat (PR) mendakwa “Tanda Putera” memaparkan watak pemimpin DAP Lim Kit Siang turut dimuatkan ke dalam filem tersebut.

Tambah Shuhaimi, sejak trailer filem ini berdurasi 90 minit tersebar di Internet, banyak tuduhan palsu dan dakwaan yang membingungkan serta tidak berasas telah dilemparkan terhadap mereka.

"Sedangkan mereka belum melihat lagi filem ini,” katanya.

Mengulas berkenaan perkara itu lagi, Shuhaimi berkata, adegan untuk 13 Mei juga dimasukkan sekadar untuk memberikan latar kepada filem berkenaan.

“Adegan 13 Mei hanya memakan masa 10 minit daripada keseluruhan 115 minit filem ini. Ia hanya latar cerita.

“Saya pembuat filem ... bukan organ propaganda,” katanya yang turut menyuarakan rasa kecewa terhadap segelintir rakyat negara ini yang masih belum matang untuk melihat sejarah mereka sendiri.

“Ia hanya sejarah ... radikal pada masa lalu, bukan sekarang.

“Rakyat Malaysia masih belum matang,” tambahnya lagi.

Ekoran kontroversi tersebut, tarikh tayangan “Tanda Putera” juga diubah kepada 15 November 2012, daripada tarikh awal 13 September depan.

“Tarikh ini dikira sesuai kerana bersempena dengan cuti sekolah hujung tahun dan memberi ruang dan masa bagi Finas dan kami merancang untuk mempromosi filem ini,” tambahnya lagi.

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi