Bahasa

Siaran langsung sidang Dewan Rakyat satu jam selepas ini

Waktu siaran langsung persidangan Dewan Rakyat di Radio Televisyen Malaysia (RTM) ditambah kepada satu jam bermula 10 pagi setiap hari berbanding 30 minit sebelum ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Kamaruddin Siaraf berkata lintas langsung mengenai persidangan juga akan dibuat dari semasa ke semasa melalui radio dan televisyen dengan laporan yang lebih padat dan terkini.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selaras dengan persetujuan Jemaah Menteri pada Mei lepas dan siaran langsung itu sudahpun bermula hari ini menerusi saluran TV1.

"Kementerian memandang serius terhadap keperluan untuk meningkatkan keberkesanan jentera kerajaan khususnya peranan RTM dalam strategi dan taktik perang persepsi," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya langkah itu juga adalah untuk meningkatkan martabat institusi Parlimen di mata rakyat terutama penduduk bandar dan golongan muda dengan menyiarkan secara langsung keseluruhan sesi mesyuarat Parlimen, khususnya Dewan Rakyat.

Beliau berkata pertambahan waktu siaran langsung itu akan membolehkan penonton mendapat maklumat dengan segera, tepat dan padat menerusi isu-isu yang dibahaskan.

Katanya maklumat itu akan disiarkan tanpa suntingan atau tapisan bagi membolehkan penonton menilai sendiri perjalanan sidang dewan, dan secara tidak langsung menjadikan ia sebagai saluran maklumat rasmi berbanding saluran alternatif di internet.

Melalui siaran langsung itu juga rakyat berpeluang mendapatkan penjelasan terperinci mengenai usaha yang dilaksanakan kerajaan selain membuktikan keterbukaan kerajaan selaras dengan kehendak orang ramai terhadap RTM sebagai penyiar awam, katanya. -- Bernama, 24 Jun, 2013.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website . We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments