Bahasa

Siasatan skandal Scorpene menyukarkan Najib dengan PRU makin hampir

KUALA LUMPUR, 26 Jun – Kerajaan Malaysia akan menjawab dakwaan berkenaan pembelian dua buah kapal selam Scorpene pada Selasa, sebagai maklum balas terhadap skandal tersebut yang dilihat cubaan untuk mencalarkan imej Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memandangkan pilihan raya bakal dilaksanakan tidak berapa lama lagi.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dijangka akan memberikan jawapan terhadap dakwaan penjualan dokumen rahsia tentera laut negara ini kepada syarikat pembinaan kapal selam Perancis DCNS bagi memudahkan mereka memenangi bidaan tersebut dengan harga €1 billion (RM4 bilion) pada 2002.

Dipetik laporan Reuters, Najib yang pada masa itu merupakan menteri pertahanan, telah menafikan dakwaan tersebut. Tiada bukti yang mengaitkan beliau dengan rasuah berhubung proses jual beli berkenaan, dan penyokong beliau berkata pihak pembangkang sengaja menimbulkan perkara itu semata-mata mahu mencalarkan imejnya selaku perdana menteri memandangkan pilihan raya umum ke-13 semakin hampir.

Agensi berita itu juga mengatakan, kerajaan pimpinan Najib sedang berhadapan tekanan untuk memberikan penjelasan selepas dokumen itu didedahkan di mahkamah di Perancis oleh kumpulan hak asasi manusia Malaysia (Suaram) dan disebarkan secara meluas di media online.

Dokumen yang turut mengandungi rekod rampasan pihak berkuasa Perancis dalam serbuan di pejabat DCNS menunjukkan bukti pembayaran yang dibuat dua syarikat yang dimiliki oleh bekas penganalisis politik, Razak Baginda, yang juga merupakan bekas pembantu Najib yang bertanggungjawab menguruskan pembelian tersebut.

Dokumen berkenaan yang turut dipaparkan di laman media online, Asia Sentinel turut memaparkan laporan yang disediakan DCNS yang menyatakan kontrak pertahanan yang besar memerlukan “pemindahan wang yang besar kepada individu dan / atau organisasi”.

“Di Malaysia, biasanya ... kerajaan pemerintah adalah pihak yang lebih banyak memperolehi manfaat,” kata dokumen terbabit, merujuk kepada pemerintahan Umno, yang kini diketuai oleh Najib.

Dokumen lain pula menyebut, bekas ketua eksekutif DCNS berkata, Perimekar, salah satu daripada syarikat Razak Baginda berperanan sebagai tidak lebih daripada “agensi pelancongan” yang diwujudkan bagi mencetuskan “pengkayaan yang tidak adil kepada pemegang sahamnya.”

PEMBUNUHAN ALTANTUYA

Joseph Brahan, peguam yang mewakili Suaram di mahkamah di Perancis memberitahu Reuters bahawa dokumen berkenaan adalah asli dan itu adalah salinan asalnya.

“Kami tidak boleh membuktikan wang itu disalurkan kepada Umno. Namun kami boleh membuktikan wang itu wang rasuah. Jika tidak kerana rasuah, untuk apa mereka dibayar,” kata Breham.

Pegawai-pegawai di DCNS, yang dimiliki oleh sebahagian syarikat pertahanan elektronik kumpulan Thales, bagaimanapun tidak dapat dihubungi. Pegawai kerajaan Malaysia juga tidak akan bertindak balas terhadap permintaan untuk memberikan komen berhubung perkara itu.

Satu sumber yang rapat kepada kerajaan Malaysia berkata bahawa Suaram telah banyak dikaitkan kepada pembangkang, yang mana bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya, yang mana Najib mesti lakukan Mac depan.

Penyokong kerajaan mengatakan bahawa pendakwaan sivil, seperti yang dibawa oleh Suaram, adalah perkara biasa di Perancis dan tiada tanda-tanda bahawa jenayah telah dilakukan.

Breham berkata kepada kepada pemberita pada sidang akhbar di Bangkok bulan lepas bahawa dokumen sulit tentera laut Malaysia telah dijual kepada DCNS oleh satu firma Razak Baginda, Terasasi, pada harga €36 juta. Ahli-ahli politik pembangkang telah mengatakan bahawa jika dakwaan itu benar, ia menunjukkan pengkhianatan kepada negara.

Kerajaan Malaysia telah mengakui bahawa Perimekar menerima €114 juta bagi perkhidmatan sokongannya, tetapi masih belum memberikan kenyataan berhubung peranan Terasasi yang berpangkalan di Hong Kong.

Dokumen berkenaan juga menyebut hubungan Razak Baginda dengan Altantuya Shaariibuu, jurubahasa dan model Mongolia yang dibunuh menggunakan bahan letupan gred tentera di Kuala Lumpur pada tahun 2006.

Razak Baginda telah dibebaskan daripada tuduhan tersebut, namun dua pengawal peribadi Najib telah disabitkan kesalahan dan dipenjarakan atas kesalahan membunuh wanita itu. Razak Baginda dipercayai telah berpindah ke Eropah dan tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan kenyataan.

Dakwaan-dakwaan yang muncul daripada mahkamah Perancis telah membantu pembangkang merangsang Malaysia. Gabungan itu dijangka untuk memenangi pilihan raya tetapi kemenangan adalah jauh dari yang dijangkakan selepas pembangkang telah memperolehi kemenangan mengejut pada tahun 2008 yang menggemparkan cengkaman kuasa BN yang telah memerintah lebih separuh abad.

“Mana-mana implikasi bahawa perjanjian Scorpene adalah satu tindakan rasuah cukup untuk menggagalkan beliau (Najib),” kata Ahli Parlimen pembangkang, Tony Pua kepada Reuters dalam satu majlis makan malam baru-baru ini untuk mengumpul dana untuk perbelanjaan guaman Suaram.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.