Bahasa

Situasi pagi: KL ‘kemarau’, kawalan polis ketat halang himpunan Bersih

Hentian Puduraya di pusat ibu negara juga kosong selepas operasinya dihentikan sejak tengah malam tadi. - Foto TMIHentian Puduraya di pusat ibu negara juga kosong selepas operasinya dihentikan sejak tengah malam tadi. - Foto TMIKUALA LUMPUR, 9 Julai — Pusat bandar raya Kuala Lumpur yang lazimnya sesak dengan lautan manusia dan kenderaan hari ini bertukar seolah-olah ‘bandar hantu’ dengan hanya dikawal ketat ratusan anggota polis di setiap pelusuk bagi menghalang Himpunan Bersih 2.0 petang ini. 

Sejak tengah malam tadi 30 jalan utama memasuki Kuala Lumpur ditutup dan pagi ini sebahagian besar anggota polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) ditempatkan lokasi-lokasi yang sering menjadi tumpuan demonstrasi diadakan. 

Tinjauan The Malaysian Insider yang sejak awal pagi berada di lokasi utama di Jalan Masjid Jamek dan Dataran Merdeka mendapati lebih 100 anggota polis sudah berada di sana. 

Kira-kira 1,000 anggota polis ditempatkan di seluruh Kuala Lumpur.

Malah turut kelihatan beberapa trak meriam air di lokasi-lokasi berkenaan di mana anggota polis dan FRU bersiap sedia berdepan dengan peserta Himpunan Bersih 2.0 yang diketuai Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) Datuk Ambiga Sreenevasan dan disokong oleh Pakatan Rakyat. 

Selain di lokasi-lokasi tumpuan, polis juga menjadikan stesen-stesen LRT, Komuter dan Monorel untuk memeriksa penumpang yang menuju ke lokasi panas. 

Kenderaan-kendaraan yang memasuki ibu negara turut diperiksa. 

Di Masjid Negara yang menjadi lokasi berkumpul PAS turut dikawal ketat oleh anggota polis yang mula berada di sana sejak awal pagi. 

Selain itu, laluan masuk ke Kuala Lumpur juga turut dikawal ketat dengan polis melakukan pemeriksaan kepada kenderaan. 

Himpunan Bersih 2.0 semalam memutuskan untuk berhimpun di tempat letak kenderaan Stadium Merdeka walaupun polis sudah memberi amaran agar tidak mengadakan demonstrasi. 

Setakat jam 8.30 pagi ini, perkhidmatan LRT, Komuter dan Monorel berjalan seperti biasa dengan semua stesen boleh dituju. 

Sementara itu di Terminal Bersepadu Selatan-Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS) keadaan masih lagi terkawal dengan pemeriksaan diperketatkan dengan bantuan polis bantuan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). 

Dijangkakan kelewatan akan berlaku di bas dari selatan dan pantai timur ekoran sekatan jalan raya yang diadakan. 

Dalam pada itu laporan Bernama Online juga menyebut suasana sekitar Kuala Lumpur setakat pukul 8.30 pagi ini kelihatan lengang berikutan beberapa jalan memasuki ke pusat bandar ditutup berperingkat. 

Keadaan trafik bagaimanapun dilihat terkawal dengan anggota polis berada di beberapa kawasan bagi mengawal lalu lintas ke pusat bandar, dengan kerjasama pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). 

Sejak pukul 12 tengah malam tadi, polis telah menutup beberapa jalan masuk ke pusat bandar dan trafik dilencongkan ke beberapa jalan lain. 

Antara jalan yang ditutup ialah Jalan Syed Putra, Jalan Bukit Petaling, Jalan Chenderasari dan kawasan sekitar Masjid Negara; 

Kawasan di sekitar Dataran Merdeka, Pasar Seni, Masjid Jamek, Dataran DBKL, Kompleks Sogo, Maju Junction, Masjid Kampung Baru, Jalan Kinabalu, Jalan Kuching, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Bot, Jalan Sri Amar, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Haji Taib. 

Jalan lain yang turut ditutup ialah Jalan Raja Muda Musa, Jalan Raja Bot, Jalan Raja Abdullah, Jalan Dang Wangi, Jalan Munshi Abdullah, Jalan Gereja, Jalan Raja Chulan, Jalan Tun Perak, Jalan Tun Tan Cheng Lok, Jalan Sultan Mahmud dan semua kawasan berhampiran. 

Sementara itu, perkhidmatan bas di tiga terminal utama di Kuala Lumpur beroperasi sementara di terminal lain sejak awal hari ini. 

Perkhidmatan bas ekspres dari Pantai Timur di Terminal Hentian Putra dan bas SKS (dari Seremban) di Pudu Raya dipindahkan sementara ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Bandar Tasik Selatan. 

Perkhidmatan bas di Terminal Hentian Pudu Raya dan Terminal Hentian Jalan Pekeliling pula dipindahkan sementara ke Terminal Hentian Duta, Jalan Duta. 

 

Sementara Polis Diraja Malaysia juga menggunakan khidmat helikopter untuk membuat tinjauan udara, 

The Malaysian Insider juga mendapati bahawa kompleks membeli-belah KLCC kelihatan lengang dengan hanya menjadi tumpuan pelancong asing. 

Polis juga mengarahkan stesen LRT Hang Tuah dan Ampang manakala stesen monorel Maharajalela dan Hang Tuah akan ditutup sehingga notis akan datang. 

Anggota polis dalam jumlah yang banyak juga ditempatkan di KLIA dan LCCT.

 

 

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.