Skim insuran kesihatan pekerja asing dikuatkuasakan di Sabah 1 Julai depan
KOTA KINABALU, 28 Jun — Skim Perlindungan Insurans Kesihatan Pekerja Asing (SPIKPA) akan mula dikuatkuasakan di Sabah pada 1 Julai depan, menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam Ketirah Hank berkata pelaksanaan SPIKPA sudah mendapat kebenaran dan persetujuan kerajaan Sabah dengan kerjasama Jabatan Imigresen Sabah.
Hank, yang juga merupakan Penolong Pengarah (Pengurusan) Jabatan Kesihatan Negeri Sabah berkata skim insuran ini sudah dikuatkuasakan di Semenanjung sejak 1 Januari tahun lepas.
Semua pekerja asing kecuali pembantu rumah diwajibkan membeli polisi insuran Skim Kemasukan Hospital dan Pembedahan Pekerja Asing dengan bayaran premium insuran maksimum sebanyak RM120 setahun.
“Obligasi untuk menanggung polisi insuran ini terserah kepada majikan dan pekerja untuk memutuskan sama ada ditanggung oleh majikan atau pekerja masing-masing,” katanya dalam kenyataan. — Bernama




