Bahasa

Soi Lek: Seksyen 114A dibahaskan dan diterima tanpa undian Parlimen

Oleh Nomy Nozwir
August 16, 2012

Dr Chua berkata pihak pembangkang seharusnya menentang pindaan tersebut sewaktu ia dibentangkan di Parlimen. — Gambar failKUALA LUMPUR, 16 Ogos — Seksyen 114A dalam pindaan Akta Keterangan 1950 telah dibahaskan di Parlimen dan diluluskan tanpa undian belah bahagi, kata Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Menurut beliau, pembangkang yang memainkan isu ini adalah hipokrit kerana mereka tidak mengundi dalam parlimen pada hari pindaan itu diluluskan.

“Jika sekiranya mereka menentang, mereka seharusnya memanggil Parlimen untuk undian belah bahagi untuk memastikan pindaan ini tidak digazetkan,” katanya dalam satu sidang media di Menara MCA hari ini.

Menurut Chua, ketika akta ini dibahaskan, pembangkang tidak memberi hujah mereka, tetapi apabila sudah dijadikan undang-undang, barulah mahu bersuara.

“Ini adalah politik tidak jujur dari pihak pembangkang,” kata Chua lagi.

MCA berpendapat bahawa kerajaan harus membuat garis panduan tentang undang-undang ini agar memastikan segalanya jelas di mata masyarakat.

“Jika undang-undang ini tidak dilaksanakan, kita perhatikan kes jenayah siber ini semakin menjadi-jadi. Di Amerika Syarikat, seorang gadis remaja membunuh diri kerana dibuli dalam ruang siber. Begitu juga dengan jenayah seperti menyebar virus, spam penipuan dalam internet dan penyebaran fitnah.

“Tetapi MCA berpendapat supaya undang-undang ini dapat melindungi orang yang tidak bersalah daripada dihukum,” katanya lagi.

Pada hari Selasa yang lalu, CIJ Malaysia melancarkan “Internet Blackout Day” untuk kempen memastikan orang ramai menyedari tentang kelemahan dalam pindaan seksyen 114A dalam Akta Keterangan 1950 ini.

Pindaan ini akan meletakkan beban membuktikan kesalahan pada pihak yang dituduh dan bukannya kepada pihak yang menuduh, yang jelas bercanggah dengan dasar dan prinsip keadilan. Secara khusus, pengguna laman sosial seperti Facebook, Twitter, blog dan lain-lain akan dipertanggungjawabkan dengan setiap isi kandungan dalam laman-laman mereka, walaupun komen dan artikel itu ditulis oleh pihak lain.

Pembekal perkhidmatan wifi juga akan dikenakan tindakan sekiranya ada pihak yang menyalahguna perkhidmatan tersebut — sekiranya rangkaian wifi rumah anda dicuri, dibawah pindaan ini anda dipertanggungjawabkan.

Soi Lek berpendapat bahawa sudah tiba jenayah siber ini dikawal memandangkan industri berasaskan internet di negara ini sudah semakin berkembang pesat.

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi