Bahasa

Speaker DUN Perak fail saman malu RM25 juta terhadap lima ADUN

IPOH, 6 Feb — Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Datuk R.Ganesan hari ini memfailkan saman malu RM25 juta terhadap lima Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kerana memfitnahnya melalui penerbitan dan pengeluaran perkataan yang mengatakan terdapat VCD salah laku seks melibatkan beliau.

Lima Adun berkenaan adalah V.Sivakumar (Tronoh), A.Subramaniam (Buntong), Datuk Ngeh Koo Ham (Sitiawan), Nga Kor Ming (Pantai Remis) dan Lim Pek Har ( Menglembu).

Writ saman itu difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada 12 tengah hari oleh peguam yang mewakili Ganesan, Azad Bashir.

Ketika ditemui pemberita, Azad berkata selain tuntutan ganti rugi khas berjumlah RM25 juta secara bersama-sama dan berasingan terhadap kesemua defendan, anak guamnya turut menuntut injunksi, faedah dan kos.

Ganesan yang turut hadir berkata beliau mengambil tindakan undang-undang itu selepas tidak menerima maklum balas daripada kelima-lima wakil rakyat itu walaupun laporan polis telah dibuat dan surat tuntutan telah dihantar kepada mereka.

Beliau berkata peguamnya telah mengeluarkan surat tuntutan itu pada 15 Jan lepas terhadap kesemua defendan untuk menarik balik perkataan berkenaan dan meminta maaf kepadanya dengan terma-terma tertentu. — Bernama

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.