Bahasa

SPNB beli rumah secara pukal sebelum jual kepada pembeli

KUALA LUMPUR, 28 Sept — Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) mengumumkan akan membuat pembelian rumah secara pukal daripada pemaju perumahan dan kemudiaannya menjual semula  pada harga ditetapkan oleh kerajaan.

Menurut SPNB lagi, langkah tersebut bertujuan bagi mengurangkan harga jualan rumah berbanding harga pasaran semasa ekoran kenaikan harga yang mendadak.

Isu perumahan mendapat perhatian kerana ramai rakyat Malaysia mengeluh tentang kesukaran untuk membeli rumah terutamanya di kota-kota besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan  Selangor.

'Walaupun tindakan ini dilihat merugikan SPNB tetapi sebagai syarikat milik kerajaan kami melakukan tanggungjawab sosial meringankan beban rakyat dalam membantu mereka memiliki rumah,”  kata Pengerusi SPNB, Datuk Idris Haron yang dipetik dari Utusan Malaysia hari ini.

SPNB telah ditubuhkan pada Ogos 1997 dan merupakan syarikat penuh Menteri Kewangan Diperbadankan.

“Bayangkan sekiranya SPNB mempunyai peranan yang sedemikian, sudah pasti syarikat itu dapat mempengaruhi dari segi harga, pakej pinjaman yang menarik dan sebagainya.

“SPNB boleh jual semula rumah pada harga mampu milik dan dengan cara itu objektif untuk meringankan beban rakyat dapat dicapai walaupun dengan cara yang berbeza malah lebih berkesan,” tambah Idris lagi.

Idris juga berkata peranan SPNB sebelum ini yang banyak terlibat dalam menangani projek-projek perumahan terbengkalai dan perumahan untuk semua perlu melangkah setapak ke hadapan dengan  memainkan peranan sebagai pembeli rumah secara pukal.

Idris juga berkata SPNB akan melaksanakannya di seluruh negara dan memberi tumpuan khusus ke atas projek perumahan berdaya maju.

Berdasarkan statistik Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), permintaan semasa untuk rumah baru ialah antara 150,000 hingga 200,000 unit setahun. 

Turut membangkitkan tentang isu perumahan ialah Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang meminta kerajaan menambah Imbuhan Tetap Perumahan (ITP)  kepada penjawat awam dalam belanjawan yang akan dibentangkan di Parlimen 28 September ini.

Setiausaha agungnya Lok Yim Pheng berkata ini perlu kerana kos perumahan kini khususnya di bandar raya amat tinggi.

Pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli turut tampil dalam mengupas isu perumahan yang dihadapi rakyat Malaysia ketika ini sambil memberi cadangan kerajaan menubuhkan lembaga perumahan  kebangsaan.

“Saya ingin melihat penubuhan lembaga perumahan kebangsaan bagi mengendalikan perumahan mampu dimiliki. Saya mahu melihat penubuhan serupa dengan HDB di Singapura kerana saya benar- benar percaya perumahan untuk orang ramai tidak harus dibiarkan kepada pasaran,” kata Rafizi.

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.