Bahasa

SPR: 16 NGO pemerhati tempatan PRU-13 perlu patuhi syarat

January 31, 2013

PUTRAJAYA, Jan 31 — Kesemua 16 badan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik sebagai pemerhati tempatan yang bertauliah pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) harus mematuhi syarat yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata lima NGO dari Semenanjung, lapan bagi Sarawak dan tiga bagi Sabah dilantik sebagai pemerhati tempatan yang akan memantau proses pilihan raya akan datang.

Beliau berkata setiap NGO akan melantik tiga pemerhati di setiap kawasan Parlimen dan mereka dibenar bergerak bebas di semua pusat pengundian di Parlimen yang dipilih, dan pelantikan bermula selepas Parlimen dibubar serta tamat selepas semua keputusan pilihan raya diumum.

"Hari ini dalam sejarah kerana buat pertama kali SPR melantik pemerhati tempatan dalam PRU Ke-13... Ini merupakan bukti bahawa tiada apa yang hendak disembunyikan berkaitan dengan proses pilihan raya.

"NGO yang menerima pelantikan harus memastikan semua petugas yang dilantik mewakili mereka mematuhi Akujanji semasa bertugas, dan ia akan dipantau SPR untuk memastikan urusan pilihan raya berjalan dengan lancar dan terkawal.

"Jika petugas NGO yang melakukan perkara-perkara cuba mengganggu perjalanan proses pilihan raya, baik semasa proses pengundian ataupun proses pengiraan undi, dan terbukti benar perbuatan salah lakunya itu, maka akreditasi pelantikannya akan dibatalkan, dan NGO berkenaan perlu bertanggungjawab," katanya pada majlis penyerahan surat lantikan kepada lima NGO dari Semenanjung hari ini.

Abdul Aziz berkata perkara utama yang dilarang dalam Akujanji ialah pemerhati berkempen atau cuba meraih undi semasa dalam pusat mengundi; tidak mematuhi arahan pegawai SPR atau polis semasa dalam pusat mengundi; cuba mengganggu atau menemu bual pengundi semasa dalam pusat mengundi.

Selain itu, beliau berkata pemerhati tidak dibenar membuat kenyataan media berkaitan pemerhatiannya, melakukan perkara yang mencetus ketegangan atau kekecohan dalam pusat mengundi, dan cuba mengganggu perjalanan proses pilihan raya.

Katanya, berkata SPR telah meneliti status dan sikap NGO terbabit bagi memastikan mereka yang dipilih menepati enam kriteria serta syarat yang ditetap iaitu berdaftar, mempunyai keupayaan menjalankan tanggungjawab sebagai pemerhati, dapat menjalankan tanggungjawab secara jujur dan profesional dan tidak berpihak.

Abdul Aziz berkata Gabungan OKU Malaysia dijemput sebagai pemerhati khas untuk membantu SPR dalam usaha mempertingkat mutu perkhidmatan kepada pengundi golongan itu yang keluar mengundi.

Sehubungan itu, beliau berkata dua kawasan Parlimen iaitu PJ Utara dan Lembah Pantai dipilih untuk pemerhatian proses pengundian bagi pengundi OKU.

Selain itu, Abdul Aziz berkata NGO yang dilantik mesti menerima syarat pelantikan dan Akujanji semasa bertugas, selain menghantar Laporan Pemantauan PRU-13 kepada SPR dalam tempoh 30 hari selepas pilihan raya.

"Di pihak SPR, diharapkan agar setiap pemerhati akan mematuhi terma dalam Akujanji yang telah dibincang dan dipersetujui.

"Ia bukanlah bertujuan untuk mengikat pemerhati, sebaliknya hanya bertujuan untuk menjamin supaya perjalanan proses pilihan raya tidak terganggu, berjalan lancar dan terkawal selain memastikan agar pemerhatian NGO dan petugas berjalan selaras dengan kehendak undang-undang serta peraturan pilihan raya.

"NGO yang dilantik adalah dialu-alukan supaya sentiasa berhubung dengan SPR (melalui Call Centre di Unit Khas Pemerhati PRU-13) sekiranya terdapat apa-apa pertanyaan atau masalah berhubung urusan pemerhatian yang perlu dirujuk kepada SPR," katanya. — Bernama

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi