Bahasa

SPR: Aktiviti meraih undi tidak sepatutnya berlaku hari ini

May 05, 2013

SHAH ALAM, 5 Mei — Aktiviti meraih undi oleh penyokong parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sepatutnya tidak dilakukan hari ini kerana tempoh berkempen telah tamat pada pukul 11.59 malam tadi, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Justeru, beliau menasihatkan penyokong parti supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan dan tidak melakukan aktiviti itu terutamanya di pusat pengundian bagi memastikan kelancaran proses pengundian pada PRU kali ini.

“Saya sudah nyatakan beberapa kali, tiada kempen pada hari pengundian. Tiada raih, tiada rayu (undi), ikutlah peraturan. Tetapi saya nampak tadi ada juga (meraih dan merayu undi),” katanya kepada pemberita.

Terdahulu beliau menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen Tujuh di sini, hari ini.

Katanya berdasarkan maklumat awal, pengundian pada waktu pagi di seluruh negara amat memberangsangkan apabila orang ramai berbaris panjang seawal pukul 8 pagi di hadapan pusat mengundi masing-masing.

“Pengundi nampaknya mengikut nasihat SPR supaya mengundi awal. Cuaca elok pagi ini. Petang ini dijangka hujan, jadi harap semua datang undi awal,” katanya.

Abdul Aziz mengingatkan pengundi supaya bersabar melalui proses pengundian terutamanya ketika proses mencalit dakwat kekal yang mengambil lebih masa sedikit berbanding proses pada pilihan raya umum 2008.

“Proses semak dan calit dakwat kekal ini makan masa sikit, kena beratur semua. Saya harap semua bersabar. Saya juga sudah nasihatkan petugas SPR supaya menggoncang botol dakwat kekal itu dengan baik supaya tiada lagi dakwaan dakwat kekal itu boleh ditanggalkan.

“Saya memohon semua pihak, pengundi dan parti politik supaya memberikan kerjasama yang baik kepada SPR untuk memastikan proses pilihan raya kita berjalan dengan baik,” katanya.

Selesai mengundi pada pukul 8.50 pagi, beliau diiringi Pengurus Pilihan Raya Bahagian Parlimen Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan meninjau keadaan di pusat pengundian itu dan bersalaman serta beramah mesra dengan pengundi.

Abdul Aziz dijadual melawat ke beberapa pusat mengundi lain di sini antaranya Sekolah Kebangsaan Raja Muda (Integrasi) Seksyen Empat, Sekolah Rendah Agama Seksyen 3 dan SMK Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Seksyen Dua.

Beliau mengundi untuk memilih calon bagi mewakili Parlimen Shah Alam dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik.

Parlimen Shah Alam menyaksikan pertandingan antara Datuk Zulkifli Noordin daripada Barisan Nasional (BN) menentang penyandangnya Khalid Abdul Samad daripada PAS. DUN Kota Anggerik pula menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara penyandang Yaakob Sapari daripada PKR, Mohd Yusof Din daripada BN dan calon Bebas Eriq Faisal Rusli. — Bernama

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi