Bahasa

SPR akui terdapat pendaftaran berganda, akan semak status penulis blog pro Umno

KUALA LUMPUR, 23 Mac — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengakui terdapat sejumlah kecil pendaftaran berganda dalam daftar pemilih dan mengatakan akan menyemak tuduhan penulis blog pro Umno “Papa Gomo” atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris adalah “pengundi hantu”.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (gambar) memberitahu The Malaysian Insider, suruhanjaya  tersebut akan menyemak status Azri dengan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) selepas PKR mendakwa penulis blog tersebut terdaftar sebagai pengundi di dua kawasan parlimen – Ampang dan Wangsa Maju. 

“Memang ada sejumlah kecil isu pendaftaran berganda seperti ini, tetapi ianya very small number (mempunyai angka yang kecil),” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

“Pegawai saya akan buat semakan berhubung perkara ini dengan polis,” tambah beliau lagi.

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli membuat pendedahan tersebut semalam selepas partinya menyemak laman sesawang SPR menggunakan kas pengenalan awam Papa Gomo dan kad pengenalan polis yang didakwa milik penulis blog tersebut.

Menurut Abdul Aziz, pendaftaran berganda melibatkan polis atau anggota tentera kebiasaannya berlaku apabila selepas seseorang anggota keselamatan itu tamat atau ditamatkan perkhidmatan, perkara ini tidak dibawa kepada SPR menyebabkan data tidak dapat dikemaskini.

“Hanya SPR yang boleh bersihkan nama mereka (anggota polis atau tentera) dalam daftar pemilih. Jabatan (polis dan tentera) tidak boleh lakukan perkara ini,” menegaskan hanya suruhanjaya tersebut yang boleh melakukan perubahan dalam daftar pemilih.

Beliau mengatakan SPR sudah menghentikan penggunaan nombor kad pengenalan polis dan tentera dalam Pilihan Raya 2013, sambil menambah mereka hanya akan menggunakan nombor kad pengenalan awam anggota keselamatan tersebut.

“Tetapi sekarang semua anggota tentera dan polis sudah mempunyai nombor kad pengenalan awam. SPR akan menggunakan nombor kad pengenalan awam bagi polis dan tentera bagi tujuan pilihan raya.

“Kalaupun penulis blog itu cuba untuk mengundi dengan menggunakan kad pengenalan polis, dia tidak akan dibenarkan mengundi,” tambah Abdul Aziz lagi.

The Malaysian Insider difahamkan ini adalah pertama kali pasukan keselamatan akan menggunakan nombor kad pengenalan biasa untuk mengundi, oleh kerana pengundian pos sudah digantikan dengan pengundian awal, salah satu langkah SPR untuk memperbaiki proses mengundi.

Abdul Aziz juga tidak menolak kemungkinan kes pendaftaran pengundi berganda penulis blog tersebut melibatkan dua orang yang berbeza.

“Orang yang ada nama sama ni banyak. Tarikh lahir sama, tempat lahir sama, tetapi kalau terbukti ianya orang yang sama, kita akan keluarkan nama dia dari daftar pemilih polis,” katanya.

Walaupun SPR telah dikritik oleh parti pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan dengan tuduhan gagal untuk menjalankan pilihan raya adil, suruhanjaya tersebut telah memperkenalkan beberapa perubahan untuk memperbaiki perjalanan pilihan raya seperti penggunaan dakwat kekal dan undi pos bagi rakyat Malaysia di luar negara untuk Pilihan Raya 2013.

Dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR semalami, Rafizi turut mendakwa Papa Gomo yang disaman semalam kerana memfitnah Anwar pernah disabitkan dengan kesalahan rasuah pada masa lalu.

“Siasatan menunjukkan individu bernama Wan Muhammad Azri Wan Deris ini adalah bekas polis trafik yang berpangkat koperal yang telah dijatuhkan hukuman penjara kerana bersalah memeras ugut seorang yang disyaki penagih dadah untuk mendapat suapan rasuah,” kata Rafizi, selepas menunjukkan laporan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggunakan namanya dalam anggota polis dan kad pengenalan polisnya.

Beliau kemudian menunjukkan dua mukasurat dari laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), menunjukkan dua tarikh lahir berbeza yang menyebabkan PKR menyiasat alamat yang digunakan oleh Papa Gomo.

Rafizi mendakwa dokumen mahkamah dan alamat surat-menyurat rasmi menunjukkan Papa Gomo mempunyai dua alamat rumah, di Ampang dan Wangsa Maju.

Apabila ditanya bukti adakah kedua-dua nama yang tertera di pangkalan data SPRM itu adalah Papa Gomo, Rafizi sekali lagi berkata dokumen mahkamah dapat menyamakan kedua-dua nombor kad pengenalan berkenaan, dan berkata beliau mahu respon dari blogger itu sebelum menunjukkan bukti tersebut.

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.