SPR digesa percepat pembersihan daftar pengundi seperti disaran PSC
KUALA LUMPUR, 22 Ogos — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa untuk mempercepatkan proses pembersihan daftar pengundi, kata Ketua Pemuda DAP Anthony Loke hari ini.
Beliau berkata, Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) untuk pilihan raya bebas dan adil yang mengeluarkan laporan pada April lalu menyebut bahawa pembersihan daftar pengundi memerlukan masa empat bulan untuk dilaksanakan.
“Sudah empat bulan laporan ini sudah dikeluarkan tapi kami masih menerima aduan, sebab itu kami mahu SPR mempercepatkan proses pembersihan tersebut.”
“Kami menggesa SPR supaya ada kesungguhan dalam proses pembersihan ini, dan akan terus mendesak supaya mereka terus mengemaskini data atau menerangkan mengenai isu ini,” kata Loke kepada wartawan dalam sidang medianya hari ini.
Loke berkata pembersihan daftar pengundi masih lagi dilakukan dan Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia (Mimos) mendapati terdapat “nama pengundi yang meragukan.
“Dalam laporan jawatankuasa parlimen, Mimos mendapati bahawa 324 alamat yang didaftarkan dengan melebihi 100 orang pengundi, dan 938 alamat melebihi 51 hingga 100 orang pengundi.
“Jumlah keseluruhan pengundi ini melebihi 100,000 orang.
Loke juga berkata SPR tidak mengambil langkah serius selain hanya menyuruh orang ramai untuk memeriksa status mereka di laman web.
“SPR sepatutnya meletakkan maklumat ini supaya orang ramai mengetahui dengan meletakkannya di pejabat pos di kawasan mereka,” katanya lagi.
Loke juga berkata, berdasarkan laporan jawatankuasa parlimen, SPR telah menggunapakai sistem dimana pengundi luar negara hanya perlu ke pejabat kedutaan dan pesuruhjaya tinggi dalam pilihan raya yang akan berlangsung selewat-lewatnya April 2013.
“Saya membangkitkan isu ini kerana terdapat juga pengundi yang tinggal jauh dari kedutaan dan SPR perlu menerangkan sistem ini dengan lebih lanjut lagi,” katanya.
Loke juga berkata SPR juga ditugaskan oleh PSC untuk membuat garis panduan untuk kerajaan sementara, untuk memudahkan transisi sekiranya Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya nanti.
“SPR harus tahu bahawa rakyat sudah penat dengan alasan yang mereka berikan,” katanya lagi.




