Bahasa

SPR hormati keputusan TI-M tarik diri pantau pilihan raya

Oleh Nomy Nozwir
January 13, 2013

KUALA LUMPUR, 13 Jan — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak memaksa Transparency International Malaysia (TI-M) untuk menjadi pemantau pilihan raya, dan menghormati keputusan badan bukan kerajaan (NGO) tersebut apabila mereka menarik diri dari memantau pilihan raya tahun ini.

Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, banyak lagi NGO menawarkan diri untuk menjadi pemantau pilihan raya, tetapi SPR akan menapis bagi memastikan NGO tersebut benar-benar berkaliber dalam menjalankan tugas tersebut.

“Tu hak dia, tu keputusan dia. Tiada masalah. Kita menawar (untuk memantau pilihan raya) kepada semua NGO, kalau dia menolak, itu hak mereka.

“Tapi bagi saya, rugilah dia,” kata Wan Ahmad (gambar) ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

Minggu lalu, TI-M menolak jemputan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pemerhati untuk pilihan raya umum ke-13, apabila mengatakan terdapat “pertikaian” dalam terma perjanjian antara badan pengendali pilihan raya itu berhubung pemerhati pilihan raya domestik.

Bagaimanapun, pemerhati anti rasuah global itu tidak mendedahkan pertikaian tersebut, sebaliknya melalui kenyataan yang diedarkan kepada media hari ini, pihak TI-M berkata, mereka akan merahsiakan puncanya demi menjaga hubungan dengan SPR.

“TI-M telah bersetuju untuk tidak menyatakan sebabnya untuk menggalakkan perbincangan yang bebas dan berterus terang,” kata TI-M dalam satu kenyataan hari ini.

Setiausaha Agung TI-M, Josie M Fernandez, dalam kenyataannya turut menjelaskan TI-M juga sebelum ini telah bekerjasama dengan SPR berkenaan penambahbaikan sistem daftar pemilih, termasuk pembiayaan politik, dan agensi yang bersedia untuk berbincang mengenai isu tersebut.

“TI-M sebelum ini telah terlibat dengan beberapa perbincangan dengan SPR,” kata Fernandez, dan menambah ketika pertemuan-pertemuan itu, TI-M akan menggesa SPR untuk mematuhi standard antarabangsa dan norma asas dalam proses pemerhati pilihan raya.

“Bagaimapun, TI-M ada menyuarakan beberapa pertikaian dalam Terma Rujukan yang dietetapkan SPR mengenai pemerhati pilihan raya domestik,” katanya.

Pemantau pilihan raya oleh NGO ini inisiatif yang pertama kali diperkenalkan SPR, bertujuan memberi peluang kepada NGO berkenaan menilai sendiri ketelusan dan peraturan SPR sepanjang pilihan raya berlangsung.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi