Bahasa

SPR Kedah sedia 633 pusat mengundi pada PRU-13

April 08, 2013

 

ALOR SETAR, 8 April — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Kedah menyediakan 633 pusat mengundi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Pengarah Pilihan Raya Kedah Juhari Abd Rahman berkata pusat mengundi tersebut meliputi 588 sekolah, 15 tadika, sembilan dewan dan 21 bangunan yang disediakan di 15 kerusi Parlimen dan 36 Dewan Undangan Negeri (DUN), melibatkan 2,040 saluran.

Beliau berkata sebanyak 26 pusat mengundi di Parlimen Langkawi, Jerlun (32), Kubang Pasu (42), Padang Terap (28), Pokok Sena (51), Alor Setar (42), Kuala Kedah (50), Pendang (43).

“Di Parlimen Jerai pula sebanyak 49 pusat, Sik (29), Merbok (41), Sungai Petani (46), Baling (72), Padang Serai (41) dan Kulim-Bandar Baharu (41),” katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Bandar Muadzam Shah di sini hari ini.

Katanya untuk pengundian awal yang melibatkan anggota polis dan tentera serta pasangan SPR menyediakan 24 pusat mengundi dengan 54 saluran. 

Juhari berkata berdasarkan daftar pemilih terkini sehingga ST4/2012, jumlah pengundi di negeri ini berjumlah 1,043,281 juta orang iaitu 1,026,334 juta orang pengundi biasa, 155 pengundi luar negara, 10,321 anggota tentera dan 6,471 anggota polis.

Beliau berkata setakat ini 60 set borang SPR bagi kerusi Parlimen dan DUN telah dibeli tetapi beliau tidak mengetahui parti mana yang berbuat demikian.

Sementara itu, beliau berkata seramai 18,329 petugas SPR akan bertugas pada PRU-13 di Kedah dan yakin semua petugas mampu untuk melaksanakan tanggungjawab itu nanti.

“Ia melibatkan pegawai pengurus pilihan raya, penolong pegawai pengurus, ketua tempat mengundi dan kerani pengundian serta lain-lain,” katanya.

Katanya pihaknya menerima peruntukan lebih RM7 juta untuk mengendalikan proses PRU kali ini.

Terdahulu beliau mengadakan taklimat kepada media dan menyerahkan kad petugas pilihan raya kepada media. — Bernama

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi