Bahasa

SPR: Mustahil ‘pengundi dengan dua pendaftaran’ dapat mengundi lebih dari sekali

Oleh Mohd Farhan Darwis
March 23, 2013

BENTONG, 23 Mac — Pengundi yang memiliki lebih daripada satu nombor pendaftaran dalam daftar pemilih, adalah mustahil untuk mengundi lebih daripada sekali, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Yusof.

Abdul Aziz menegaskan, walaupun mana-mana individu mempunyai lebih daripada satu pendaftaran dalam daftar pemilih seperti Wan Muhammad Azri Wan Deris atau didakwa PKR sebagai “Papa Gomo”, mereka hanya akan dapat mengundi sekali kerana SPR telah melaksanakan penggunaan dakwat kekal dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kali ini.

“SPR sudah berusaha sedaya upaya supaya tidak berlaku pendaftaran dua kali, sekiranya ada kita akan potong nama mereka,” tegasnya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan perasmian majlis Taklimat Pegawai Pengurus dan Penolong Pegawai Pengurus peringkat Wilayah Persekutuan di Colmar Tropicale Berjaya Hills, Bukit Tinggi di sini.

“Kalau pun SPR terlepas (pandang) ... seseorang itu hanya boleh mengundi sekali, sebab dakwat kekal.”

Abdul Aziz bagaimanapun berkata, sekiranya pengundi dengan dua pendaftaran itu hadir semasa hari mengundi, pegawai SPR kebiasannya akan menemui individu tersebut.

“Tapi biasanya orang ini tak datang (mengundi),” katanya ketika diminta mengulas dakwaan terhadap Papagomo yang dikatakan memiliki dua pendaftaran dalam daftar pemilih.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz menegaskan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPR sedang menyiasat dakwaan PKR tersebut.

“Kita tengah siasat, kita kena pastikan dengan PDRM, dan kami sedang semak.

“Sebab nama sama, tarikh lahir sama, kod sama, nama isteri pun sama banyak berlaku,” katanya lagi kepada pemberita.

Wan Muhammad Azri walau bagaimanapun telah menafikan dirinya adalah blogger pro-Umno seperti yang didakwa oleh PKR, sebaliknya menegaskan beliau adalah Ketua Eksekutif KL POS Media & Production Sdn Bhd.

“Saya nak maklum bahawa nama saya adalah Wan Muhammad Azri Wan Deris, kad pengenalan 8301210350** dan merupakan Ketua Eksekutif KL POS Media & Production Sdn Bhd.

“Saya tegaskan di sini bahawa saya bukan blogger Papa Gomo seperti didakwa pembangkang,” katanya dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS), semalam, dipetik laporan Sinar Harian Online.

Wan Muhammad Azri turut menafikan dirinya sebagai pengundi hantu kerana beliau belum pernah menjadi pengundi tidak pernah mengundi sebelum ini.

“Macam mana (boleh jadi) pengundi hantu sedangkan saya belum pernah mengundi lagi. PRU12 (Pilihan Raya Umum ke-12) saya belum ada kesedaran untuk mengundi.

“Sekarang, saya daftar mengundi di Parlimen Wangsa Maju dan tidak pernah mendaftar untuk mengundi di mana-mana tempat selain Wangsa Maju,” katanya.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli sebelum ini mendakwa penulis blog “Papa Gomo” atau Wan Muhammad Azri Wan Deris, yang disaman kerana memfitnah Anwar dengan mengaitkan beliau dengan video seks, pernah disabitkan dengan kesalahan rasuah pada masa lalu.

“Siasatan menunjukkan individu bernama Wan Muhammad Azri Wan Deris ini adalah bekas polis trafik yang berpangkat koperal yang telah dijatuhkan hukuman penjara kerana bersalah memeras ugut seorang yang disyaki penagih dadah untuk mendapat suapan rasuah,” kata Rafizi, selepas menunjukkan laporan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggunakan namanya dalam anggota polis dan kad pengenalan polisnya.

Dakwa Rafizi, dengan menggunakan kad pengenalan polisnya dalam pengkalan data Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menggunakan nama kad pengenalan biasa Papa Gomo, Rafizi berkata PKR mendapati penulis blog tersebut mendaftar sebagai pengundi di dua kawasan ― Ampang dan Wangsa Maju.

Apabila ditanya kemungkinan terdapat orang lain mempunyai nama yang sama dengan Papa Gomo, Rafizi berkata “ia kemungkinan agak mustahil”.

“Saya tak rasa akan ada dua Wan Muhammad Wan Deris dalam IPD (ibu pejabat daerah) yang sama,” katanya lagi.

Rafizi turut mendakwa dokumen mahkamah dan alamat surat-menyurat rasmi menunjukkan Papa Gomo mempunyai dua alamat rumah, di Ampang dan di kawasan kediamannya di Wangsa Maju.

Apabila ditanya bukti adakah kedua-dua nama yang tertera di pangkalan data SPRM itu adalah Papa Gomo, Rafizi sekali lagi berkata dokumen mahkamah dapat menyamakan kedua-dua nombor kad pengenalan berkenaan, dan berkata beliau mahu respon dari blogger tersebut sebelum menunjukkan bukti tersebut.

Rafizi juga berkata latar belakang disemak oleh PKR di Ampang menunjukkan bahawa orang ramai di situ berkata blogger tersebut pernah bekerja sebagai anggota polis.

Peguam Ketua Pembangkang Datu Seri Anwar Ibrahim sebelum ini telah memfailkan saman fitnah ke atas Papa Gomo, di mana ketua pembangkang itu menyaman beliau RM100 juta dalam bentuk ganti rugi dan injuksi bagi menghalang blogger ini dari terus menyiarkan tuduhan fitnah dalam blognya.

Dalam kenyataan yang difailkan, blogger tersebut dikenali sebagai Wan Muhammad Azri Wan Deris, dengan kad pengenalan awamnya merupakan alamat di kawasan parlimen Wangsa Maju yang disebut Rafizi. Nombor kad pengenalan polis tidak disebut di dalam dokumen.

Dalam mahkamah semalam, plaintif merujuk kepada tiga terbitan blog — dengan yang pertama pada hari Sabtu lalu, oleh Papa Gomo yang mengandungi fitnah dan gambar lelaki bogel.

Sabtu lalu, Anwar menafikan beliau terlibat dalam gambar tersebut dan mendakwa ia adalah “gimik politik jijik Umno”.

Peguam N. Surendran pada Selasa lalu mendakwa Papa Gomo mempunyai “hubungan rapat” dengan Umno, dan mengatakan gambar tersebut adalah palsu dan digunakan oleh musuh Anwar untuk mencalarkan imej ketua pembangkang itu menjelang Pilihan Raya 2013.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi