Bahasa

SPR: Pengiraan undi akan dilakukan di tempat mengundi

SHAH ALAM, 15 Feb — Pengiraan kertas undi akan kekal dilakukan di Pusat Pengundian, dan bukannya Pusat Pengiraan Undi Berkelompok, kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Menurut Wan Ahmad perkara itu telah dilaksanakan sejak 1985, kerana dengan jumlah pengundi yang semakin ramai, pengiraan undi di Pusat Mengundi lebih mudah kerana kuantiti kertas undi yang sedikit berbanding di Pusat Pengiraan Undi Berkelompok.

“Kita mengira kertas undi di Pusat Mengundi sebab tempat mengundi ada jumlah kertas undi yang sedikit,” katanya kepada The Malaysian Insider selepas sidang akhbar semalam.

“Kalau kita kira di pusat pengiraan undi, jumlahnya terlalu banyak, kalau zaman dahulu mungkin boleh ... tapi sekarang kita ada berapa juta pengundi,” tambahnya.

Semakan The Malaysian Insider terhadap Buku Panduan Ejen Tempat Mengundi, Ejen Mengira Undi dan Pemerhati Barung yang diterbitkan SPR menunjukkan Perkara 7: Tempat dan Masa Mengira Undi  Semasa Hari Pengundian, 7.1.3 menyatakan; “sama ada Tempat Mengira Undi dijalankan di Tempat Mengundi atau Pusat Pengiraan Undi Berkelompok”.

Jelas Wan Ahmad, kertas undi tersebut kemudiannya melalui proses biasa pengundian iaitu akan dimasukkan ke dalam peti undi, kemudiannya di “balut” dan di bawa ke pusat pengumpulan undi.

Sementara itu, mengulas berkenaan jumlah had maksimum kertas undi, Wan Ahmad berkata, mana-mana pengundi yang kertas undinya rosak pada hari pengundian, mereka boleh memaklumkan kepada Ketua Pusat Mengundi bagi mendapatkan kertas undi baru.

“Kertas rosak akan diambil dan di cop ketua pusat mengundi sebagai kertas undi rosak, dan kemudiannya mengisi borang undi rosak.

“Pengundi akan mendapat kertas undi baru mereka,” katanya dan menambah, perkara itu bagaimanapun jarang berlaku berulangkali, sebaliknya kebiasaannya hanya berlaku sekali penukaran kertas undi.

“Mungkin bila tekan dengan pensel, kertas itu terkoyak ... memang ia undang-undang lama, dan sebab itu sekarang kita gunakan dakwat kekal,” katanya.

Setiap kertas undi juga jelasnya akan dilengkapi dengan nombor siri masing-masing, tambah beliau.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.