Bahasa

SPR: Pengundi perlu terlibat aktif dalam pilihan raya, nilai manifesto kedua-dua parti

Oleh Md Izwan
April 18, 2013

Wan Ahmad semasa program simulasi di galeri The Canvas, Damansara. — Gambar oleh Hasnoor HussinWan Ahmad semasa program simulasi di galeri The Canvas, Damansara. — Gambar oleh Hasnoor HussinKUALA LUMPUR, 18 April — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menggesa pengundi untuk terlibat secara aktif dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU 13), disamping pengundi dinasihat membaca manifesto kedua-dua parti untuk menilai yang mana mahu dipilih.

Timbalan pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata penglibatan aktif akan membantu pengundi membuat pilihan tepat.

“Pilihan raya adalah penting untuk masa depan negara, bagi pilihan raya kali ini saya harap seluruh rakyat Malaysia terlibat secara  aktif.

“Dengan penglibatan aktif rakyat, barulah mereka mengetahui tentang calon-calon yang akan bakal mereka pilih dikawasan tersebut  dan dapat membuat pilihan yang tepat,” kata Wan Ahmad dalam satu program simulasi pilihan raya dianjurkan oleh National Institute for Electoral Integrity (NIEI) di Damansara pagi ini.

Walau bagaimanapun, Wan Ahmad menegaskan pengundi harus bersikap matang dan saling hormat-menghormati parti lawan mereka agar tidak berlaku kekecohan dan insiden yang tidak diingini.

“Pengundi perlu matang, sikap hormat perlu ditunjukkan kepada parti yang bertanding supaya kekecohan dan huru-hara tidak  berlaku,” tambahnya.

Wan Ahmad juga berkata penglibatan aktif juga akan meningkatkan peratusan keluar mengundi dan menjangkakan sekurang-kurangnya 80 peratus rakyat keluar mengundi pada pilihan raya kali ini.

Disamping itu, beliau juga menggesa orang ramai untuk membaca manifesto parti politik kerana ia adalah sesebuah amalan  demokrasi pilihan raya yang membantu mereka untuk membuat penilaian dan memilih parti yang sewajarnya.

“Pada pilihan raya kali ini, saya menggesa orang ramai untuk membaca manifesto kedua-dua parti politik kerana ia adalah amalan  demokrasi pilihan raya.

“Bacalah manifesto tersebut, nilai dan buatlah pilihan dengan tepat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Wan Ahmad juga menggesa parti politik tertentu untuk berhenti daripada mengkritik badan pilihan raya tersebut  semata-mata untuk meraih sokongan politik dan mencemarkan imej SPR.

“Saya ingatkan parti politik berhenti daripada terus membuat tuduhan tidak berasas dan memburukkan SPR.

“SPR ingin ingatkan sebarang kejadian tidak diingini dan huru-hara hanya akan merugikan rakyat Malaysia kerana jika ia berlaku  pilihan raya mungkin terpaksa ditangguhkan sekaligus melambatkan proses demokrasi di Malaysia,” terangnya lagi.

Mengenai amaran oleh kumpulan tertentu yang mahu melakukan kekecohan dengan meminta kad pengenalan semasa hari  mengundi bertujuan untuk pengesahan bukan pengundi warga asing, Wan Ahmad menegaskan hanya polis dan SPR sahaja  mempunyai hak untuk bertindak sedemikian.

“Ingin saya ingatkan, kumpulan tertentu tersebut tidak mempunyai hak untuk meminta IC pengundi kecuali pihak SPR dan polis  sahaja.

“Tidak ada undang-undang yang membenarkan mereka untuk meminta IC orang lain, ia adalah satu kesalahan,” ujarnya lagi.

Pada 3 April lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat bagi memberikan laluan  kepada Pilihan Raya 2013 diadakan.

SPR telah menetapkan tarikh PRU13 pada hari Ahad, 5 Mei 2013 dan hari penamaan calon pada 20 April.

Hampir 13.3 juta pemilih berdaftar akan mengundi dalam pilihan raya kali ini.

Ahli politik daripada parti pemerintah Barisan Nasional (BN) dan pembangkang Pakatan Rakyat (PR) bertarung merebut 222 kerusi  parlimen dan 505 kerusi DUN pada 5 Mei ini.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi