Bahasa

SPR: Status halal jejaskan ketahanan dakwat kekal

Seorang pengundi sedang disapu dakwat kekal di sebuah pusat mengundi di Permatang Pauh, 5 Mei, 2013. — Gambar ReutersSeorang pengundi sedang disapu dakwat kekal di sebuah pusat mengundi di Permatang Pauh, 5 Mei, 2013. — Gambar ReutersPUTRAJAYA, 5 Mei – Penggunaan dakwat kekal dalam Pilihan Raya 2013 mempunyai ketahanan berbeza dengan yang digunakan di negara lain oleh kerana ianya perlu mengikuti garis panduan halal dan kesihatan, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.

Walau bagaimanapun, SPR menegaskan, jika digunakan dengan betul, dakwat masih boleh dikesan walaupun selepas ianya dibasuh.

“Di luar negara, dakwat kekal tidak perlu mengikut garis panduan status halal untuk orang-orang Islam,” kata Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof kepada pemberita di sini.

“Pada masa sama, terdapat surat dari Kementerian Kesihatan menyatakan kandungan silver nitrate mesti tidak melebihi satu peratus.

Menurut Abdul Aziz, dakwat perlu tidak menghalang air untuk melaluinya oleh orang Islam, seperti yang ditetapkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Kandungan silver nitrate yang tinggi akan menyebabkan kegagalan organ dalaman jadi ia digantikan dengan bahan-bahan herba, katanya.

Ramai pengundi mengadu dapat menghilangkan dakwat kekal yang digunakan untuk menanda jari mereka dikala ribuan rakyat telah mula mengundi hari ini dalam pilihan raya paling sengit dalam sejarah negara.

Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din membuat laporan polis kerana berjaya menghilangkan dakwat kekal di jarinya.

“Setelah pulang ke rumah jam 8.50 pagi, saya cuba membersihkan dakwat kekal. Dan saya terperanjat kerana dakwat kekal itu tidak kekal. Hanya dengan basuh menggunakan air biasa tanpa solvent chemical, telah dapat dibersihkan dakwat kekal itu sehingga tidak meninggalkan sebarang kesan.

Bagaimana SPR menamakan dakwat itu dakwat kekal? Siapa tipu siapa? Samada pembekal menipu SPR atau SPR menipu pengundi atau pengundi menipu dirinya? Rakyat memerlukan penjelasan,” kata Haron di laman Facebooknya.

PKR mengatakan mereka menerima banyak laporan mengenai dakwat kekal yang boleh dibersihkan dengan menggunakan sabun dan pelbagai lagi pencuci di rumah setakat jam 11.38 pagi.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.