Bahasa

SPR: Tidak boleh berkempen di kem tentera, berek polis

Oleh Md Izwan
February 14, 2013

SPR menegaskan anggota tentera dan polis masih lagi bebas dan tiada sekatan untuk mengikuti kempen-kempen yang berjalan diluar kem dan berek.. – Gambar failSPR menegaskan anggota tentera dan polis masih lagi bebas dan tiada sekatan untuk mengikuti kempen-kempen yang berjalan diluar kem dan berek.. – Gambar failKUALA LUMPUR, 14 Feb – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata faktor “kawasan keselamatan” menyebabkan tiada kelonggaran akan diberi kepada parti-parti politik untuk berkempen dalam kem tentera dan berek polis pada Pilihan Raya 2013, tetapi aktiviti berkempen di sekitar kawasan kem dan berek tidak dikenakan sekatan.

Menurut SPR, peruntukkan undang-undang dalam kem dan berek bukan dibawah bidang kuasa mereka dan kebenaran untuk berkempen adalah hak mutlak kedua-dua agensi penguatkuasa terbabit.

“Tentang berkempen dalam kem tentera dan dalam kawasan berek ibu pejabat polis kontijen (IPK) serta ibu pejabat polis daerah (IPD), SPR akan mendapatkan maklumat tentang undang-undang dan peraturan daripada mereka,” kata pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof kepada The Malaysian Insider dalam satu pesanan ringkas semalam.                                                                

“Sejak dari dulu lagi tidak boleh berkempen di dalam kem dan berek polis, kalau tidak silap saya,” ujar beliau lagi.

Dalam statistik SPR dikeluarkan pada suku tahun 2012, seramai 147,681 orang adalah pengundi yang terdiri daripada anggota tentera, manakala 94,613 orang adalah anggota polis.

Jumlah pengundi dalam kem tentera dan berek polis antara pecahan pengundi yang juga menyumbang kepada kemenangan parti bertanding, sehubungan itu pemimpin daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) berlumba-lumba untuk mendapatkan sokongan daripada kedua-dua kelompok tersebut.

Walau bagaimanapun, kedua-dua kelompok pengundi tersebut sebelum ini didominasi oleh BN dan dianggap sebagai deposit tetap kepada pemerintah kerajaan BN sejak dahulu lagi.

Sekiranya larangan kepada parti-parti politik untuk berkempen dalam kem tentera dan berek polis kekal dan tidak mendapat kelonggaran kepada parti politik untuk berkempen, Abdul Aziz menegaskan anggota tentera dan polis masih lagi bebas dan tiada sekatan untuk mengikuti kempen-kempen yang berjalan diluar kem dan berek.

“Tentera dan polis boleh mendengar kempen seperti rakyat biasa diluar kem dan IPK serta IPD.

“Sudah pasti mereka tahu calon yang bertanding melalui kawasan tempat mengundi dan kempen yang berterusan,” terang beliau.

Kenyataan pengerusi SPR tersebut dilihat akan memberikan tamparan baru kepada pembangkang terutamanya dalam misi mendapatkan sokongan kuat daripada kedua-dua pasukan keselamatan tersebut, memandangan akses kepada PR sangat terhad dan sering dikekang.

Malahan, hasrat Pengarah Pilihan Raya PKR Mohamed Azmin Ali baru-baru ini yang berkata PKR mungkin melancarkan kempennya ke balai polis, kem tentera laut atau mana-mana kem lain juga bakal terhalang dan tersekat dengan kenyataan SPR ini.

Sehubungan itu, PR beralih strategi dengan menggunakan isu terkini unit beruniform tersebut untuk “mendidik” pihak tentera mengenai perkara yang memberi impak kepada mereka, seperti perjanjian kontroversi kerajaan mengenai ketenteraan dan yang terbaru, apabila dana Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) digunakan untuk membeli syarikat penjual permaidani Deepak Jaikishan.

Bagi menarik sokongan pengundi daripada kumpulan anggota polis pula, PR dilihat semakin agresif dalam menarik beberapa bekas pemimpin tertinggi dalam pasukan keselamatan tersebut antaranya ialah penyertaan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Fauzi Shaari dan bekas Ketua Polis Daerah (OCPD) Slim River Abdullah Omar bersama PAS, serta beberapa pemimpin tertinggi daripada tentera lain.

PRU ke 13 yang perlu diadakan selewat-lewatnya selepas mandat BN berakhir tahun ini dianggap paling sengit dalam sejarah oleh kerana BN yang memerintah Malaysia semenjak 1957 dicabar hebat oleh PR yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS.

Dalam Pilihan Raya 2008, buat pertama kalinya penguasaan tradisi majoriti dua pertiga BN dinafikan dan beberapa negeri BN seperti Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak jatuh ketangan gabungan PKR, PAS dan DAP.

Perak walau bagaimanapun kembali ketangan BN pada tahun 2009 apabila tiga ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PR keluar dari gabungan tersebut.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi