Bahasa

SSM dimansuh, sistem gaji satu lapis sektor awam diperkenal

Oleh G Manimaran
October 07, 2011
Latest Update: October 08, 2011 03:20 am

KUALA LUMPUR, 7 Okt — Kerajaan memperkenalkan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) dengan menyediakan gaji sebaris dengan pembaharuan lebih radikal.

“Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam berteraskan merit untuk kakitangan kerajaan menggantikan sistem lama SSM. Sistem ini akan menaikkan gaji maksimum tiap gred,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Kenaikan gaji tahunan pula dijangka antara RM80 hingga RM300 mengikut gred.

Umur persaraan kakitangan awam juga dilanjutkan daripada 58 kepada 60 tahun.

“Kerajaan bersetuju lanjutkan umur persaraan wajib kepada 60 tahun daripada 58 tahun bagi mengoptimumkan sumbangan pegawai perkhidmatan awam,” katanya.

The Malaysian Insider awal minggu lalu melaporkan satu skim baru akan menggantikan SSM yang diperkenalkan pada 2002 dan kembali kepada gaji satu lapis diamalkan sebelum 1992.

Ia merupakan antara tiga berita yang dilihat menggembirakan penjawat awam.

Ketika membentangkan Belanjawan 2012, Najib berkata di bawah SBPA penjawat awam akan menerima kenaikan gaji tahunan yang ditingkatkan antara RM80 hingga RM320 mengikut gred mulai tahun 2012.

“Bagi penjawat awam yang menerima opsyen ke SBPA, mereka akan mendapat faedah kenaikan gaji di antara tujuh hingga 13 peratus,” kata beliau.

Najib berkata dengan pelaksanaan SBPA juga lebih 600,000 pesara kerajaan akan menikmati pelarasan pencen yang melibatkan peruntukan RM600 juta.

“Mulai tahun 2013 nanti, kerajaan akan melaksanakan kenaikan tahunan pencen pesara sebanyak dua peratus setahun tanpa perlu menunggu sebarang semakan sistem saraan atau pelarasan gaji,” kata beliau.

Jelas beliau, sistem itu digubal dengan matlamat mentransformasi perkhidmatan awam negara ini supaya menjadi organisasi yang lebih dinamik, responsif dan berorientasikan prestasi.

“Ia juga akan memperkenalkan prinsip perubahan radikal dalam pengambilan dan pengisian jawatan serta pembangunan kerjaya dengan teras pengekalan atau penamatan perkhidmatan penjawat awam berasaskan prestasi kerja,” katanya.

Di bawah sistem SBPA, kerajaan akan menambah baik struktur gaji penjawat awam melalui pembentukan gaji sebaris dengan mewujudkan lebih banyak mata gaji supaya penjawat awam terus mendapat kenaikan tahunan bagi tempoh yang lebih lama.

Dengan itu katanya, gaji maksimum bagi sesuatu gred adalah lebih tinggi daripada sekarang.

Malah di bawah SBPA mengikut kaedah ‘time-based’, seorang guru akan mendapat gred 44 pada tahun kelapan dan gred 48 pada tahun ke-16 berbanding mereka terpaksa menunggu sehingga 20 tahun untuk naik pangkat.

Bagi guru bukan siswazah pula dari gred 29 kepada 32 sekiranya mengikut sistem sekarang, ia memakan masa selama 10 tahun, tetapi di bawah skim baru, ia hanya mengambil tempoh lapan tahun.

“Bagi kenaikan gred 32 ke 34, jika sekarang ini bergantung kepada kekosongan, tetapi di bawah SBPA kelak, kaedah ‘time-based’ lapan tahun turut diterima pakai,” kata Perdana Menteri.

Najib menambah, di bawah SBPA juga, Dasar Pemisah akan diwujudkan bagi penjawat awam yang berprestasi rendah dan mereka yang memilih untuk meninggalkan perkhidmatan.

Najib berkata kerajaan sentiasa berpegang kepada falsafah dan prinsip bahawa usaha memperbaiki diri dan menambah ilmu di dada tidak berpenghujung, malah pembelajaran adalah satu proses sepanjang hayat.

Bagi maksud itu, kerajaan akan menawarkan bantuan yuran pengajian kepada penjawat awam untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi secara separuh masa.

Beliau berkata tahun depan, kerajaan dengan kerjasama Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) akan menawarkan 5,000 peluang peringkat Ijazah Sarjana dan 500 lagi peringkat Doktor Falsafah kepada penjawat awam yang layak, termasuk para guru dengan peruntukan sebanyak RM120 juta.

“Kita akan menawarkan 20,000 tempat kepada kumpulan guru diploma yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Muda, untuk tujuan ini, kerajaan akan memperuntukkan sejumlah RM80 juta bagi tahun pertama,” katanya lagi.

Najib berkata, kerajaan juga menghargai khidmat dan jasa 4,300 kakitangan yang telah menamatkan kontrak dari Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan serta Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.

“Bagi membantu golongan ini meringankan kos sara hidup, kerajaan akan memberi bayaran khas sebanyak RM3,000 secara one-off,” kata beliau yang Pengerusi BN.

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi