Bahasa

Strategi lautan biru akan diteruskan: KSN

August 11, 2012

TAWAU, 11 Ogos — Konsep 'Strategi Lautan Biru' iaitu pendekatan aplikasi secara kreatif dan inovatif dalam melaksanakan dasar kerajaan akan diteruskan kerana ia terbukti membawa impak positif kepada rakyat dan negara, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Ali Hamsa.

Beliau berkata strategi berkenaan juga perlu diteruskan kerana pendekatan itu jelas mampu menggalakan pelaksana dasar kerajaan termasuk penjawat awam untuk berfikir secara baharu atau berfikir di luar kotak dalam menyelesaikan sebarang masalah.

"Sebagai contoh, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dapat bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam pelbagai hal dalam usaha (mengurangkan kadar jenayah). Pada masa ini sudah terdapat lima program melibatkan kerjasama antara ATM dan PDRM.

"ATM juga bekerja sama dengan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dalam membantu kerajaan membina rumah dan infrastruktur asas seperti jambatan untuk masyarakat miskin di luar bandar,"" katanya ketika mengadakan pertemuan dengan penjawat awam di sini hari ini.

Menurut Ali program terbaru di bawah Strategi Lautan Biru ialah 1Malaysia Youths For You (1M4U) yang  bertujuan menyemarakkan semangat kesukarelaan di kalangan kira-kira 10 juta belia di negara ini agar mereka dilibatkan secara langsung dalam arus perdana pembangunan negara.

Sementara itu, Ali meminta penjawat awam supaya menekankan aspek musyawarah atau 'engagement' dengan pelanggan mereka bagi memastikan sesuatu yang dilakukan itu benar menepati  kehendak rakyat.

Katanya zaman 'kerajaan tahu segalanya' atau 'kerajaan sentiasa betul' sudah berlalu dan justeru itu penglibatan pihak berkepentingan dalam perlaksanaan dasar kerajaan perlu diambil kira demi kebaikan semua pihak. — Bernama

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi