Subra: Rakyat dinasihatkan tidak terlalu bergantung bantuan kebajikan
SEGAMAT, 17 Jun — Rakyat di negara ini dinasihat supaya tidak terlalu bergantung dengan bantuan kebajikan sebaliknya perlu lebih proaktif untuk berdikari dengan menceburi perniagaan berbekalkan kemahiran tertentu.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam (gambar) berkata, kerajaan telah mewujudkan pelbagai medium untuk rakyat mempelajari kemahiran seperti Institut Latihan Perindustrian yang menyediakan kursus jangka pendek mengikut minat masing-masing.
“Dengan peluang yang diberikan oleh kerajaan ini, semua kaum bukan sahaja masyarakat India, Cina, bahkan juga Melayu dapat memperoleh peluang yang sama untuk memajukan diri dan meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya.
Beliau yang juga Anggota Parlimen Segamat berkata demikian selepas menghadiri majlis penyampaian Sijil Program Latihan 1Malaysia, di Dewan Yayasan Pelajaran Johor, Taman Yayasan di sini, hari ini.
Berbekalkan kemahiran itu, katanya, orang ramai boleh membuka perniagaan kecil-kecilan berbekalkan bantuan kewangan yang disediakan oleh kerajaan dengan kadar bayaran balik yang munasabah dan tidak membebankan.
Sementara itu, Subramaniam berkata program ‘BN Pilihan Kami’ anjuran Pemuda MIC pusat diyakini mampu menarik golongan belia India untuk memberikan sokongan padu kepada parti itu dalam pilihan raya umum akan datang.
Beliau yang juga Timbalan Presiden MIC berkata, program yang berkonsepkan hiburan berinformasi yang dilaksanakan sejak sebulan lalu, setakat ini mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan generasi muda India.
“Usaha ini merupakan inisiatif terkini kerajaan dalam menyalurkan pelbagai maklumat dan informasi mengenai dasar-dasar kerajaan secara jelas dan tepat.
“Dengan cara ini generasi muda kini akan lebih mudah memahami apa yang ingin disampaikan oleh kerajaan menerusi aktiviti-aktiviti berbentuk hiburan yang diadakan dalam program berkenaan,” katanya. — Bernama
SEGAMAT, 17 Jun — Rakyat di negara ini dinasihat supaya tidak terlalu bergantung dengan bantuan kebajikan sebaliknya perlu lebih proaktif untuk berdikari dengan menceburi perniagaan berbekalkan kemahiran tertentu.



