Suhakam mahu terlibat dalam penggubalan Akta Keharmonian Nasional
KUALA LUMPUR, 12 Julai — Langkah kerajaan untuk memansuhkan Akta Hasutan dialu-alukan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).
Dalam sebuah kenyataan yang dihantar kepada The Malaysian Insider sebentar tadi, pengerusinya, Tan Sri Hasmy Agam, menyatakan bahawa badan tersebut pernah mencadangkan agar kerajaan memansuhkan Akta tersebut bagi menjamin kebebasan bersuara.
“Langkah baik ini membolehkan hak asas kepada kebebasan bersuara sepertimana yang dijamin di bawah perlembagaan persekutuan dan yang termaktub dalam perkara 19 Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 (UDHR) lebih dinikmati,” kata Hasmy Agam.
Suhakam juga menyokong segala usaha kerajaan untuk melakukan reformasi demokrasi dan perlindungan terhadap hak asasi manusia dan kebebasan seperti yang telah dijanjikan oleh Perdana Menteri dalam perutusan khas Hari Malaysia pada 15 September 2011.
“Walau bagaimanapun, usaha pembaharuan undang-undang telah menimbulkan kebimbangan daripada pelbagai peringkat masyarakat apabila penggubalan undang-undang tersebut dilakukan secara drastik dan tidak banyak melibatkan rundingan.
“Walaupun Suruhanjaya mengalu-alukan cadangan undang-undang yang menggantikannya , Akta Keharmonian Negara, dan ambil maklum akan tujuannya untuk mewujudkan keseimbangan antara jaminan dalam kebebasan bersuara untuk setiap warga negara dan menangani kompleksiti yang wujud dalam masyarakat majmuk di negara ini, ia berharap bahawa Akta baru ini akan digubal secara telus melalui perundingan dengan semua pihak yang berkepentingan untuk memastikan supaya ia selaras dengan prinsip-prinsip asas hak asasi manusia,” kata pengerusi Suhakam itu lagi.
Suhakam turut berharap Jabatan Peguam Negara akan mengundang mereka dan pihak-pihak berkepentingan yang lain termasuk kumpulan masyarakat sivil dalam penggubalan undang-undang baru ini bagi menangani kebimbangan yang khusus serta memastikan bahawa peruntukan-peruntukan yang disediakan di bawahnya adalah selaras dengan prinsip hak asasi manusia sejagat, sekaligus mempromosi dan melindungi hak asasi manusia di negara ini.
KUALA LUMPUR, 12 Julai — Langkah kerajaan untuk memansuhkan Akta Hasutan dialu-alukan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).



