Bahasa

Sukan Komanwel: Pemain badminton Malaysia mara, hoki sungkur

October 11, 2010

NEW DELHI, 11 Okt — Kesemua pemain Malaysia layak ke peringkat suku akhir acara perseorangan badminton kecuali pemain wanita Lydia Cheah pada temasya Sukan Komanwel di sini semalam.

Lydia mengalami kejutan di tangan pemain Scotland Susan Egelstaff 14-21, 19-21 di Kompleks Sukan Sri Fort di sini.

Bagaimanapun, Lydia berganding dengan Goh Liu Ying untuk menewaskan  Juliette Chantal Ah-Wan/Alisen Yutrina Therese Camille dari Seychelles 21-16, 21-9 dalam acara beregu wanita.

Mereka akan menentang pasangan Scotland, Imogen Bankier/Emma Mason pada pusingan seterusnya.

Satu lagi beregu wanita negara, Chin Ee Hui/Woon Khe Wei mengalahkan gandingan Uganda, Gloria Catherine Najjuka/Daisy Nakalyango 21-6, 21-8 untuk berdepan dengan beregu tuan rumah India, Jwala Gutta/Ashwini Ponnappa Machinmanda.

Sementara itu, dalam perseorangan wanita, pemain utama negara Wong Mew Choo dengan mudah menewaskan pemain Mauritius Karen Foo Kune 21-7, 21-3 sebelum menentang Carrisa Turner dari Wales pada saingan suku akhir.

Dalam acara perseorangan lelaki, pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, yang mudah mengalahkan Alex Pang dari Kanada, 21-11, 21-10, akan bertemu Juma Muwowo dari Zambia di peringkat suku akhir.

Muhd Hafiz Hashim menundukkan pemain Kanada David Snider 21-12, 21-13 untuk berdepan dengan K. Karunathilaka dari Sri Lanka.

Dalam acara beregu campuran, Chan Peng Soon/Goh Liu Ying menewaskan Charles Conran Saunders Pyne/Christine Denise Leyow-Mayne  dari Jamaica 21-12, 21-14.

Mereka akan menentang James Phillips/Caroline Harvey dari Wales pada perlawanan seterusnya.

Satu lagi beregu campuran negara, Koo Kien Keat/Chin Ee Hui akan bertemu  Toby Ng/Grace Gao dari Kanada selepas menewaskan Kieran Merrilees/Kirsty Gilmour dari Scotland 21-7, 21-14.

Dalam pada itu, Malaysia mengalami kekalahan paling teruk dalam temasya Sukan Komanwel apabila dibelasah 7-0 oleh Australia dalam perlawanan hoki lelaki Kumpulan A di Stadium Nasional Major Dhayn Chand.

Australia memulakan jaringan seawal minit kelima menerusi Luk Doerner dan kemudian menghasilkan jaringan hatrik bagi menyingkirkan Malaysia dari perebutan tempat ke separuh akhir.

Gol seters Australia disumbangkan oleh Simon Orchard, Glenn Turner, Chris Ciriello dan Eddie Ockenden.

Australia mendahului 4-0 pada separuh masa.

Kejayaan mudah itu membolehkan Australia muncul juara kumpulan, sekaligus layak ke separuh akhir manakala dalam lagi perlawanan kumpulan sama, India menewaskan musuh tradisi Pakistan 7-4 untuk menempah tiket ke separuh akhir.

Sementara itu, buruan emas oleh kontinjen Malaysia pada hari ketujuh temasya Sukan Komanwel semalam  tidak berhasil apabila atlet negara hanya mampu menyumbang dua perak dan sebutir gangsa.

Malaysia memulakan saingan dengan pingat perak oleh penembak wanita Nur Ayuni Halim dan gangsa oleh Nur Suryani Mohd Taibi dalam acara individu 10m Air Rifle.

Pada sebelah petang, Leong Mun Yee dan Pandelela Rinong merangkul perak dalam acara terjun irama 10m platform lelaki dengan persembahan cemerlang.

Saingan semalam turut menyaksikan atlet Malaysia terlepas beberapa pingat khususnya penembak pilihan Nur Suryani hanya mampu memperoleh gangsa manakala Nur Ayuni terlepas emas dengan hanya dua mata menentang penembak Singapura.

Seperti dijangkankan, skuad memanah pulang dengan tangan kosong dalam acara recurve individu lelaki dan wanita.

S. Anbarasi tersasar emas dalam acara recurve individu wanita manakala penembak Hasli Izwan gagal menyerlah dalam acara individu 25m centrefire pistol. — Bernama

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi