Bahasa

Sultan Johor dahului senarai penerima pingat dan darjah kebesaran keputeraan Sultan Terengganu

April 26, 2013

KUALA TERENGGANU, 26 April — Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar mendahului senarai 324 penerima pingat dan darjah kebesaran sempena ulang tahun ke-50 Keputeraan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini.

Sultan Ibrahim dianugerah Darjah Kebesaran Kerabat Terengganu Yang Amat Mulia Darjah Yang Pertama (D.K.).

Tiga penerima darjah Seri Paduka Mahkota Terengganu (S.P.M.T) yang membawa gelaran Datuk ialah Setiausaha Kerajaan Terengganu Datuk Mazlan Ngah; Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan Panglima Tentera Darat Malaysia Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Dua penerima darjah Datuk Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (D.S.M.Z.) yang membawa gelaran Datuk dan Toh Puan bagi isteri penerima ialah Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Yazid Mustafa dan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh.

Seramai 13 individu pula menerima darjah Datuk Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T.) yang turut membawa gelaran Datuk dan Toh Puan bagi isteri mereka.

Antaranya Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri Terengganu Datuk Za’abar Mohd Adib; bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Asha’ari Idris dan Ketua Pengarah Biro Tata Negara Datuk Raja Arif Raja Ali.

Selain itu, Pengarah Kerja Raya Terengganu Shafii Mohamad; Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Anwa Sulaiman; Pengarah Perbadanan Perpustakaan Negeri Terengganu Nor Akmal Abdul Fatah; Naib Yang Dipertua Perkaya, Harun Hassan, dan Pengarah Kanan Jabatan Dakwah, Pendidikan dan Pengurusan Halal Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (Maidam), Samsiah Awang, turut menerima D.P.M.T.

Dua perwira negara yang terkorban dalam insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah, yang juga anak jati Terengganu, Allahyarham ASP Zulkifli Mamat daripada Unit 69, Komando Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Allahyarham ACP Ibrahim Lebar daripada Cawangan Khas Bukit Aman ialah antara enam penerima Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (S.M.Z.).

Selain itu, Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu Zakaria Hussin; Pengarah Jabatan Baitulmal Maidam Mohd Noor Mohamad; Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang, ACP Roslee Chik; dan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Abdullah Zaik Abdul Rahman pula ialah antara 21 individu yang menerima Setia Mahkota Terengganu (S.M.T.).

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Dr A Rahman Mokhtar, pula ialah antara 26 individu yang menerima pingat Ahli Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (A.M.Z.) termasuk Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu, Zuhami Omar.

Seramai 36 lagi individu pula menerima Ahli Mahkota Terengganu (A.M.T.) termasuk calon Barisan Nasional bagi kerusi parlimen Kuala Terengganu, Mohd Zubir Embong.

Seramai enam orang menerima Pingat Jasa Cemerlang (P.J.C.), 18 penerima Pingat Bintang Lama Berjawatan (B.L.B.), 169 penerima Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K.) dan 23 penerima Pingat Lama Berjawatan (P.L.B.).

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Mazlan Ngah berkata istiadat pengurniaan darjah kebesaran dan pingat berkenaan akan disempurnakan pada 7 dan 9 Julai oleh Sultan Mizan.

Buat pertama kali juga, pengurniaan pingat dan darjah kebesaran itu akan diadakan di Istana baru di Bukit Chendering, Kuala Terengganu. — Bernama

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi