Bahasa

Sultan Kedah Yang di-Pertuan Agong ke-14, kali kedua

October 14, 2011

KUALA LUMPUR, 14 Okt — Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-14.

Pemilihan diputuskan oleh Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat khasnya di Istana Negara di sini hari ini.

Pemilihan itu berkuat kuasa 13 Disember ini untuk tempoh lima tahun.

Sementara Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh yang sama, menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri.

Ini adalah kali kedua Sultan Abdul Halim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Kali pertama pada 21 September 1970 untuk tempoh lima tahun, berakhir 20 September 1975.

Sultan Abdul Halim (gambar fail), 83, yang kini Timbalan Yang di-Pertuan Agong akan menggantikan Tuanku Mizan Zainal Abidin yang akan tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13.

Mesyuarat khas Majlis Raja-Raja dipengerusikan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan dihadiri oleh semua Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja kecuali Sultan Pahang.

Pemilihan dilakukan mengikut peruntukan jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan.

Sultan Abdul Halim, diputerakan pada 28 November 1927 di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah.

Baginda menaiki takhta pada 14 Julai, 1958 selepas kemangkatan ayahanda baginda Sultan Badlishah.

Lulusan Wadham College Oxford United Kingdom dengan ijazah Sains Sosial dan Pentadbiran Awam, baginda pernah menyertai Perkhidmatan Awam Negeri Kedah dalam tahun 1950-an.

Sementara itu, Sultan Muhammad V, 42, dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada 13 September 2010.

Canselor Universiti Malaysia Kelantan itu diputerakan di Kota Baharu, Kelantan pada 6 Oktober 1969.

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi