Bahasa

Sultan Perak mahu pemimpin politik hindari perkara sensitif

KUALA KANGSAR, 19 April — Sultan Perak Sultan Azlan Shah mengingatkan semua pemimpin parti politik supaya menghindari perkara-perkara sensitif seperti mengapi-apikan sentimen rakyat semasa berkempen pada pilihan raya umum ke-13 ini.

Pesanan baginda itu disampaikan melalui titah Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah hari ini pada majlis santapan tengah hari sempena ulang tahun hari keputeraan ke-85 Sultan Azlan Shah yang berlangsung di Istana Iskandariah di sini.

Titah Raja Nazrin, Sultan Azlan mengingatkan bahawa kesemua perkara yang menyentuh isu agama, kaum, budaya serta bahasa jika dieksploitasi tanpa rasa tanggungjawab boleh menjejaskan perpaduan di kalangan rakyat.

“Baginda menyeru agar rakyat baginda berupaya mencerminkan sifat berhemah demi memastikan kelangsungan sebuah negara merdeka yang berdaulat, makmur lagi sejahtera, mendukung prinsip dan amalan demokrasi secara matang lagi bertanggungjawab,” titah Raja Nazrin.

Sultan Azlan meletakkan kepercayaan kepada kebijaksanaan dan pengalaman pelbagai institusi negara terutama Suruhanjaya Pilihan Raya dan pasukan keselamatan untuk menentukan pilihan raya dapat berlangsung dalam keadaan lancar, aman dan tenteram, titah baginda.

Raja Nazrin bertitah Sultan Azlan Shah juga mengingatkan bahawa keamanan dan ketenteraman, kesejahteraan serta kemakmuran adalah anugerah besar daripada Ilahi yang wajib dipelihara setiap masa.

Sultan Perak yang turut mengikuti perkembangan politik semasa dan pilihan raya umum ke-13 yang akan berlangsung tidak lama lagi sekali lagi menegaskan peranan berkecuali takhta serta Raja Pemerintah yang tidak memihak mana-mana kumpulan politik, titah baginda.

“Malah, baginda menegaskan betapa pentingnya bagi Raja Pemerintah mencerminkan dan mempamerkan sikap berkecuali agar Raja Pemerintah dapat berperanan sebagai penimbang tara yang adil lagi saksama untuk membantu merungkai sebarang konflik dan kekusutan jika berlaku,” titah Raja Nazrin.

Raja Nazrin turut bertitah Sultan Perak yang pada ketika ini masih perlu beristirehat menyampaikan salam dan menzahirkan ucapan terima kasih baginda dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun atas ucapan dan doa oleh semua pihak yang memperlihatkan perhatian berat terhadap baginda berdua.

“Walaupun dalam keadaan masih perlu beristirehat, baginda tidak terlepas pandang akan tanggungjawab terhadap negeri dengan menitahkan agar hari ulang tahun keputeraan baginda terus disambut secara simbolik sebagai tanda menghormati peranan penting institusi takhta dan Raja Pemerintah,” titah baginda.

Sementara itu, sambutan hari ulang tahun keputeraan ke-85 Sultan Azlan Shah hari ini disambut sederhana dengan majlis santapan yang dihadiri kerabat diraja, pemimpin kerajaan negeri dan masyarakat, ketua-ketua jabatan serta agensi kerajaan dan wakil badan bukan kerajaan.

Ia disusuli dengan majlis bacaan Yasin dan Tahlil di Masjid Ubudiah di sini sebelum berlangsungnya solat Jumaat. – Bernama 

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.