KOTA KINABALU, 23 Feb — Putrajaya di peringkat akhir menetapkan syarat-syarat dan terma penubuhan Inkuiri Suruhanjaya Diraja (RCI) di Sabah, kata pemimpin negeri Barisan Nasional (BN) menolak dakwaan bahawa Datuk Seri Najib Razak telah menarik balik keputusan menubuhkan RCI.
The Malaysian Insider dimaklumkan bahawa sebab tunggal perdana menteri tidak mengumumkan pengwujudan RCI semasa lawatannya ke sini minggu lepas adalah bagi mendapatkan maklumbalas parti komponen BN di Sabah dan kerajaan negeri tentang terma rujukan dan komposisi panel.
Mendakwa telah melihat minit mesyuarat Kabinet, sumber BN itu mengesahkan kementerian persekutuan telah bersetuju terhadap pembentukan RCI pada 8 Februari dan melantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz mengetuai skop penyiasatan RCI.
Dalam pertemuan Kabinet pada Rabu, 15 Februari sebelum Najib berangkat ke Sabah, Nazri telah membentangkan draf kasar rujukan RCI untuk perbincangan, tambah pemimpin berkenaan.
"Ia telah dibincangkan namun terma rujukan belum muktamad kerana Kabinet mahukan input lebih daripada parti BN di Sabah dan kerajaan negeri.
"Dan atas sebab itu, walaupun dijangka perdana menteri akan mengumumkan RCI pada 16 Februari, beliau masih lagi belum bersedia untuk mengumumkannya," kata pemimpin BN itu kepada The Malaysian Insider semalam.
Pemimpin itu menjelaskan sekiranya Najib mengumumkan pembentukan panel itu ketika lawatannya, beliau akan dikritik kerana gagal memberikan jawapan yang jelas terhadap skop penyiasatan panel dan ahlinya.
"Jangan lupa, isu ini telah menjadi isu yang hangat. Semua orang bercakap mengenainya. Dan (isu) telah berlanjutan bertahun-tahun. Najib tidak boleh membuat pengumuman tanpa sebarang butir tambahan," tambahnya lagi.
Pemimpin itu bagaimanapaun mengakui tindakan Najib membisu berkenaan perkara itu bukan sahaja menimbulkan kemarahan BN Sabah malah tindakan itu telah memalukan pemimpin mereka, terutamanya mereka yang berada di dalam UPKO, dan PBS, yang telah mendakwa berhasil mendesak RCI.
Kegagalan perdana menteri memaklumkan pemimpin parti di seberang Laut China Selatan itu berkenaan perkembangan RCI juga menimbulkan kekeliruan, tambah sumber berkenaan.
"Malangnya, tiada pihak yang menjelaskan mengapa tiada sebarang pengumuman berkenaan RCI. Kami semua teringin untuk mengetahui apa yang berlaku," kata sumber itu lagi.
Apabila Najib, yang dijadualkan bercakap kepada pemberita selepas majlis di Tungku berhampiran Lahad Datu, telah membatalkan sidang medianya dan kembali ke Kuala Lumpur, khabar angin mula tersebar berikutan keadaan tergesa-gesa perdana menteri itu.
Laporan berita di internet melaporkan Najib telah membelakangi keputusan Kabinet, sementara yang lain mendakwa berlakunya "mesyuarat rahsia" pemimpin Umno yang memberi amaran kepada perdana menteri bahawa BN akan kehilangan sebilangan besar undi sekiranya RCI digunakan untuk menangani populasi besar pendatang tanpa izin.
Pemimpin pembangkang mengambil peluang menyebarkan kepada orang ramai bahawa parti BN di Sabah tidak mempunyai pengaruh terhadap pemerintah.
Penasihat DAP Lim Kit Siang mempersoalkan apakah pengumuman pemimpin BN Sabah Tan Sri Bernard bahawa RCI telah diluluskan Kabinet pada 10 Februari hanyalah khabar angin.
Seorang pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata kepada The Malaysian Insider bahawa khabar angin itu turut menyatakan Tun Dr Mahathir Mohamad bertanggungjawab mendesak Najib daripada membentuk RCI.
"Kenapa beliau tidak mengumumkannya? Kenapa? Kami semua tertanya-tanya. Banyak khabar angin. Dan benar, memang kami kecewa. Lebih kecewa daripada pembangkang," kata pemimpin berkenaan.
Beliau mengesahkan dalam mesyuarat bersama BN Sabah, perdana menteri telah menyatakan itu mungkin lawatan terakhirnya ke negeri di bawah bayu itu sebelum pilihan raya umum.
"Tapi beliau menambah akan kembali semula melawat sekiranya pilihan raya belum ditetapkan lagi. Memang dijangka RCI akan diumumkan. Tiada petunjuk akan berlaku sebaliknya," tambahnya.
Kemasukan pendatang tanpa izin yang tidak terkawal di Sabah telah menjadi isu yang telah lama wujud di Sabah, dan dikatakan sebab bertambahnya masalah dari segi ekonomi, keselamatan, dan sosial yang dialami penduduk negeri itu.
Menurut jawapan yang dibekalkan Parlimen tahun lalu, populasi Sabah berjumlah 651,304 pada 1970 dan meningkat kepada 929,299 sedekad kemudian.
Namun, dua dekad berturutnya pada 1980, populasi di negeri itu meningkat dengan mendadak kepada 1.5 juta penduduk, mencecah 2,468,246 bagi tahun 2000.
Laporan media menyatakan pada 2010, jumlah itu meningkat kepada 3.2 juta, dengan warga asing merupakan 27 peratus daripada keseluruhan 889,799 populasi penduduknya.
Pihak pembangkang telah lama mengecam kerajaan BN kerana pertumbuhan penduduk mendadak itu, malah membuat dakwaan bahawa pendatang tanpa izin diberi kebenaran masuk ke negeri itu disertakan MyKad dan hak mengundi demi membantu BN kekal memerintah.






