Bahasa

SUPP: Perhimpunan pembangkang tidak menjejaskan sokongan rakyat kepada BN

January 13, 2013

Chin berkata daripada mengadakan demonstrasi jalanan, adalah lebih baik sekiranya pakatan pembangkang cuba turun padang untuk memberi penjelasan kepada orang ramai tentang kemampuan mereka. – Gambar oleh Choo Choy MayChin berkata daripada mengadakan demonstrasi jalanan, adalah lebih baik sekiranya pakatan pembangkang cuba turun padang untuk memberi penjelasan kepada orang ramai tentang kemampuan mereka. – Gambar oleh Choo Choy MayMIRI, 13 Jan – Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Merdeka anjuran parti pembangkang semalam tidak menghakis sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13, kata Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

Beliau berkata anggaran kehadiran 50,000 hingga 60,000 peserta pada perhimpunan itu tidak boleh dijadikan ukuran tentang sokongan yang diterima pembangkang.

“BN tidak perlu takut, apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada Kabinet pada 1998, perhimpunan serupa dihadiri 50,000 hingga 60,000 peserta, tetapi sokongan terhadap BN tidak terjejas,” katanya kepada pemberita selepas melawat sebuah rumah kebajikan untuk warga tua kelolaan pihak swasta di sini, menjelang sambutan perayaan Tahun Baharu Cina, di sini hari ini.

Chin, yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, berkata daripada mengadakan demonstrasi jalanan, adalah lebih baik sekiranya pakatan pembangkang cuba turun padang untuk memberi penjelasan kepada orang ramai tentang kemampuan mereka.

“Saya harap pakatan pembangkang boleh hentikan demonstrasi jalanan, ia bukan cara Malaysia, mesej apa yang cuba mereka sampaikan atau apakah hasil yang ingin mereka capai, selalulah turun padang dan beritahu orang ramai siapakah yang akan menjadi perdana menteri sekiranya pakatan memenangi pilihan raya umum akan datang, tapi itu pun mereka tak mampu jelaskan kepada rakyat,” katanya.

Menjawab pertanyaan pemberita sama ada beliau mempunyai petunjuk bilakah parlimen akan dibubar, Chin, yang juga Anggota Parlimen Miri, berkata ia tidak mungkin berlaku bulan ini atau bulan depan.

“Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri kini giat turun padang untuk menilai keadaan politik dan memandangkan Tahun Baru Cina akan disambut tidak lama lagi, tidak mungkin pilihan raya akan diadakan,” katanya.

Beliau berkata tarikh pilihan raya umum tidak sepatutnya menjadi rahsia besar memandangkan penggal kerajaan sedia ada akan berakhir pada 28 April tahun ini.

Banyak pihak berpendapat bahawa memandangkan Tahun Baru Cina akan disambut pada 10 dan 11 Feb dan pelbagai bantuan kewangan akan disampaikan antara sekarang dan Mac, maka Perdana Menteri mungkin membubarkan Parlimen pada Mac.

Pemerhati politik meramalkan Parlimen akan dibubar pada minggu pertama Mac dan pengundian dijangka diadakan menjelang akhir bulan itu. – Bernama

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi