Bahasa

Susulan sidang khas, Muhyiddin mahu MB Selangor letak jawatan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jan — Seseorang Menteri Besar yang gagal mendapat sokongan majoriti dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) patut meletak jawatan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata kegagalan mendapatkan sokongan majoriti membuktikan kredibiliti yang lemah Menteri Besar terbabit.

“Sepatutnya beliau (Menteri Besar) meletak jawatan kerana tak dapat sokongan majoriti di DUN,” katanya semasa sesi dialog pada majlis makan malam yang diadakan di Dewan Besar Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini malam tadi.

Menjawab satu soalan bahawa terlalu banyak “politicking” di Malaysia sehingga menyebabkan kepentingan rakyat terabai, Muhyiddin berkata ia berpunca daripada tindakan pembangkang.

“Kita (kerajaan) terpaksa respons, kalau tidak nanti orang kata kita tidak buat apa-apa,” katanya.

Selangor, yang mengadakan sidang khas DUN kelmarin, gagal mendapat sokongan majoriti dua pertiga untuk meminda Perkara 52 (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri 1959.

Usul pindaan rang undang-undang, yang dibentangkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, bertujuan mengembalikan kuasa melantik tiga pegawai eksekutif Selangor iaitu Setiausaha Kerajaan Selangor (SUK), Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri kepada Sultan Selangor dan Menteri Besar.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin (gambar) yang juga Menteri Pelajaran berkata kerajaan sedia mengkaji untuk membenarkan pelajar yang memiliki kelayakan setaraf dengan Sijil Pelajaran Malaysia seperti O Level kerana mengikuti ibu atau bapa yang bermastautin atau bertugas di luar negara memohon pinjaman MARA, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Malaysia bagi melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi. — Bernama

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.