Taib: Bekir tak perlu restu saya ganti adiknya sebagai MP
KUALA LUMPUR, 3 Sept — Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, beliau tidak perlu memberi restu kepada anak sulung lelakinya, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir, yang membayangkan minat untuk bertanding di kerusi Parlimen Kota Samarahan pada pilihan raya umum ke-13.
Taib (gambar) yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera (PBB) berkata, terpulanglah kepada Mahmud Abu Bekir, yang kini merupakan Timbalan Pengerusi Cahya Mata Sarawak untuk menentukan masa depan politik beliau.
“Beliau boleh berkhidmat dalam banyak kapasiti,” katanya di Kuching malam tadi.
“Saya tidak boleh menentukan masa depan kerjaya anak-anak saya tetapi mereka perlu bekerja keras dalam arah yang mereka pilih dan mengenali lebih ramai orang,” kata beliau dipetik Bernama Online.
Bagaimanapun kata Taib, beliau pernah menawarkan Mahmud Abu Bekir peluang untuk menggantikannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Muara Tuang, 10 tahun lalu tetapi beliau menolaknya.
“Jadi, biarlah beliau menukar fikirannya dan lihat betapa seriusnya beliau,” katanya.
Mahmud Abu Bekir baru-baru ini memberitahu bahawa beliau berminat untuk menggantikan adik lelakinya Datuk Seri Sulaiman, yang berhasrat untuk mengundurkan diri sebagai wakil rakyat kawasan itu.
Selasa lalu, Mahmud Abu Bekir yang menjadi anggota PBB cawangan Kuching sejak beliau berumur 19 tahun, mengumumkan minatnya dalam politik tetapi ketua menteri itu belum membayangkan sebarang masa depan beliau.
Sulaiman adalah antara beberapa ahli Parlimen daripada parti tulang belakang campuran Barisan Nasisonal (BN) negeri itu diramal tidak akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang.
Beliau bertanding di Kota Samarahan pada pilihan raya umum lalu untuk menggantikan Taib dan melepaskan jawatan Timbalan Menteri Pelancongan akhir Disember 2009.
Taib (gambar) yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera (PBB) berkata, terpulanglah kepada Mahmud Abu Bekir, yang kini merupakan Timbalan Pengerusi Cahya Mata Sarawak untuk menentukan masa depan politik beliau.



